suria

Doktor terpendek di dunia kecapi kejayaan, dedah pernah dianiaya kerana rupa fizikal

Doktor terpendek di dunia berjaya tawan menara gading.

SEORANG pemuda dari Gujarat, India mengejutkan ramai apabila berjaya memenuhi cita-citanya untuk menjadi seorang doktor meskipun ketinggiannya yang kerdil.

Dr Ganesh Baraiya berkemungkinan merupakan doktor terpendek di dunia dengan ketinggian hanya 91.4 sentimeter (sm).

Doktor cilik ini sukses menamatkan pengajiannya dan kini bertugas sebagai pelatih di Hospital Sir-T di Bhavnagar.

Bercerita lanjut, Dr Ganesh berkata dia sememangnya menyimpan impian sejak kecil untuk bergelar doktor dan sentiasa belajar bersungguh-sungguh bagi mendapatkan gred yang cemerlang dalam pelajaran.

Bagaimanapun, perjalanannya tidak dapat dinafikan penuh dengan liku-liku.

Dr Ganesh pernah memohon menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS), namun ditolak walaupun mendapat keputusan yang baik.

Majlis Perubatan India menolak permohonannya kerana faktor ketinggian dengan alasan Ganesh tidak akan dapat melaksanakan tugasnya dalam kes kecemasan.

Dr Ganesh mengakui kecewa namun enggan berputus asa sehingga akhirnya kesnya dibawa ke Mahkamah Agung India.

Pada 2018, Mahkamah Tinggi di India, memutuskan Ganesh berhak untuk mendaftar dalam MBBS dan dia sah menjadi doktor pada pada tahun berikutnya

"Saya sangat kecewa tiga tahun lalu, tetapi enggan menerima penolakan mereka. Sekarang saya sangat gembira kerana mendapat keadilan daripada Mahkamah Agung.

"Kini saya dalam perjalanan untuk memenuhi impian yang saya harapkan sejak kecil. Saya tahu saya berbeza, tetapi saya mahu menjalani kehidupan yang normal seperti orang lain dan membanggakan ibu bapa saya," kata Dr Ganesh.

Sehingga kini, Dr Ganesh masih menangani isu diskriminasi kerana ramai pesakitnya enggan bercakap dengannya kerana ketinggiannya. - Oddity Central

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain