JEPUN sebagai negara dengan aktiviti seismik paling aktif di dunia menyebabkan mereka sering dilanda gempa bumi. Bagi menghadapi kekerapan tinggi bencana alam tersebut, negara matahari terbit itu melengkapkan rakyatnya dengan aplikasi yang mampu memberikan amaran awal. Pada petang Isnin, tular video pendek di laman X, memaparkan seorang pempengaruh Jepun sedang bersiaran langsung di media sosial sebelum telefon pintarnya berdering sebagai amaran gempa bumi. Tidak panik dan mengingati prosedur keselamatan ketika situasi gempa bumi, pempengaruh wanita itu segera meninggalkan siarannya untuk berlindung di tempat selamat. "Alamak gempa bumi, saya kena pergi segera," kata pempengaruh itu sambil menunjukkan skrin telefon pintarnya. Pempengaruh itu tergesa-gesa meninggalkan live apabila mendapat amaran awal gempa bumi. Beberapa saat selepas pempengaruh itu berlalu pergi, kelihatan kediamannya bergegar akibat gempa bumi yang kuat. Menjengah ke ruangan ciapan balas, rata-rata warga maya berasa kagum dengan kesiapsiagaan rakyat Jepun untuk menghadapi gempa bumi. "Cara dia bertindak balas dengan amaran gempa bumi dalam phone tu memang pantas, terus selamatkan diri, tak ada fikir benda-benda lain lagi. "Efektif betul sistem amaran dan rakyat mereka pun mematuhi sepenuhnya, disiplin macam ni boleh menyelamatkan banyak nyawa. "Harap Malaysia pun ada sistem amaran yang sepantas ini untuk bencana banjir," kata sebahagian warga maya. Dalam pada itu, satu siri gempa bumi berukuran sehingga 7.6 magnitud dilaporkan melanda wilayah Ishikawa di tengah Jepun pada pukul 4.10 petang waktu tempatan. Amaran tsunami dikeluarkan Agensi Meteorologi Jepun (JMA) dan orang ramai digesa untuk segera berpindah ke tempat tinggi serta mengosongkan kawasan pantai. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube