suria

Pernah diramal tak hidup lama gara-gara hanya seberat 374 gram, ‘bayi tin Coke’ bakal sambut hari jadi ke-30!

Heeley yang pernah diramal tidak akan hidup lama, bakal menyambut hari lahirnya yang ke-30.

SIAPA sangka, bayi yang pernah diberi gelaran 'bayi tin Coke' selepas dilahirkan pramatang, kini bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-30?

Jonathon Heeley diberi nama timangan tersebut kerana beratnya hampir sama dengan berat satu tin minuman ringan berkenaan.

Berat Heeley hanya 374 gram ketika dia dilahirkan di Hospital Mater di Brisbane, Australia pada 1992.

Beratnya kemudian turun kepada 338 gram sekaligus para doktor sukar meramal peluang untuknya terus bertahan.

Heeley dilahirkan melalui kaedah C-section pada minggu ke-23, selepas hasil imbasan mendapati dia mengalami masalah pertumbuhan yang teruk dan dikelilingi cecair amniotik pada tahap yang amat rendah.

Bagaimanapun selepas 'berkampung' untuk tempoh beberapa lama di hospital, Heeley akhirnya dibenarkan pulang lima bulan selepas dia dilahirkan.

Dokumen yang ditulis doktor pada status Heeley adalah 'masa depan tidak diketahui', ketika dia dibenarkan pulang ke rumah.

Tetapi kini bayi yang pernah diramal tidak akan hidup lama itu bersedia untuk menyambut hari lahirnya yang ke-30, dengan beratnya mencecah 60 kilogram.

"Saya mempunyai lima peratus peluang untuk terus hidup (ketika itu). Kemungkinan besar saya tidak sepatutnya berada di sini," kata Heeley.

"Saya menganggap setiap hari sebagai satu rahmat. Saya menjalani hidup, melakukan apa yang saya mahu lakukan dan membuat sesuatu untuk diri saya sendiri. Saya sangat bersyukur dan menjadi sangat bermotivasi kerana masa lalu saya," ujarnya. - Dailystar

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain