suria

Gelanggang laga lembu runtuh, bayi 18 bulan antara empat mangsa terkorban... ratusan penonton cedera

Gelanggang laga lembu runtuh menyebabkan empat penonton terkorban. Foto: Reuters

SEKURANG-KURANGNYA empat orang terbunuh dan ratusan penonton lain cedera apabila sebuah stadium runtuh sebahagiannya semasa pertandingan laga lembu sedang berlangsung, di pusat bandar El Espinal, Colombia.

Difahamkan, seorang bayi berusia 18 bulan antara yang maut.

Acara tersebut yang dipanggil 'corraleja', merupakan sebahagian daripada festival San Pedro, yang paling popular di negara berkenaan.

Video yang diambil semasa pertarungan lembu menunjukkan satu bahagian ruang utama tersebut yang diperbuat daripada kayu yang dipenuhi penonton runtuh menyebabkan berpuluh-puluh orang ke jatuh ke tanah.

Satu lagi video yang dirakam di tempat kejadian menunjukkan orang ramai cuba melarikan diri sementara seekor lembu jantan terus berkeliaran di arena.

Gabenor Tolima, Jose Ricardo Orozco memberitahu stesen radio tempatan bahawa rangkaian hospital di pusat bandar telah 'diaktifkan' berikutan tragedi itu.

Setiausaha Kesihatan Tolima, Martha Palacios, berkata seramai 322 orang telah mendapatkan rawatan di hospital awam dan hospital swasta.

Selain empat maut, dilaporkan empat lagi berada dalam unit rawatan rapi dan dua yang lain terpaksa menjalani pembedahan.

Presiden Colombia, Ivan Duque menerusi Twitter memaklumkan beliau sudah meminta siasatan dilakukan berhubung kejadian itu. - Metro.co.uk

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain