suria

Pesawat penumpang terhempas di Afghanistan

Ariana Airline menafikan pesawat miliknya terhempas. -foto Wikimedia/Metro UK

SEBUAH pesawat penumpang terhempas di kawasan kawalan Taliban di timur Afghanistan.

Pegawai berkata pesawat itu jatuh di wilayah Ghazni, yang terletak di kaki bukit kawasan pergunungan Hindu Kush dan sangat sejuk.

Laporan setempat menyatakan terdapat 83 orang di dalam kapal, namun angka ini masih belum disahkan.

Laporan awal daripada para pegawai mengatakan pesawat itu adalah milik Ariana Airlines, tetapi syarikat itu menafikannya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Mirwais Mirzakwal berkata: “Terdapat nahas penerbangan tetapi bukan melibatkan Ariana kerana kedua-dua penerbangan yang diuruskan oleh Ariana hari ini dari Herat ke Kabul dan Herat ke Delhi selamat.”

Terdahulu, tiga pegawai kanan kerajaan Afghanistan berkata salah satu daripada pesawat syarikat penerbangan milik negara itu telah terhempas.

Jurucakap gabenor wilayah Arif Noori berkata pesawat itu terhempas sekitar 1.10 petang waktu tempatan di daerah Deh Yak.

Dua ahli majlis wilayah juga mengesahkan kemalangan itu.

Punca kemalangan belum diketahui.

Nahas udara komersil yang besar kali terakhir di Afghanistan berlaku pada tahun 2005 apabila penerbangan Kam Air dari Herat barat ke Kabul terhempas di kawasan pergunungan ketika ia cuba mendarat di kawasan cuaca bersalji.

Bagaimanapun, peperangan telah menyaksikan beberapa nahas pesawat tentera.

Pada 2013, pesawat kargo Boeing 747 Amerika terhempas sejurus selepas berlepas dari pangkalan udara Bagram di utara Kabul dalam perjalanan ke Dubai.

Kesemua tujuh anak kapal terbunuh. -Metro UK

pesawat, terhempas, nahas, Ariana Airlines

Artikel Lain