Kejam! Lekat bakul atas kura-kura untuk pengunjung zoo lempar duit syiling

Keadaan seekor kura-kura di zoo yang digam dengan sebuah bakul. Foto Weibo

KAKITANGAN di sebuah zoo yang popular di Guangxi, China didakwa melakukan kekejaman haiwan dan cuba menipu pengunjung, selepas mereka melekatkan sebuah bakul pada cangkerang seekor kuka-kura bagi membolehkan orang ramai melemparkan duit syiling ke dalamnya.

Amalan melemparkan duit syiling pada objek tertentu dari kuil ke patung hingga enjin pesawat sebelum menaiki penerbangan, dipercayai membawa nasib tuah.

Bagaimanapun, kepercayaan tersebut kadang-kadang melampaui batasan.

Dalam kes ini, seekor kura-kura di Zoo Nanning di Guangxi digamkan sebuah bakul pada cangkerangnya untuk orang ramai melemparkan duit syiling ke dalamnya.

Gambar-gambar haiwan itu merangkak mengelilingi kandangnya dengan membawa bakul di atasnya menjadi tular di media sosial China.

Tindakan itu mendapat kecaman warganet terutama pencinta haiwan.

Ia juga dilihat sebagai gimik untuk memperdayakan pengunjung zoo.

Menerusi gambar yang dimuat naik di Weibo, platform seperti Twitter di China, seorang pengguna berkata, gambar tersebut diambil semasa cuti Hari Kebangsaan.

Dia kemudian mengkritik zoo berkenaan kerana mempergunakan haiwan bagi menipu wang pengunjung dan menggesa polis, media dan biro perhutanan negara menjalankan siasatan.

Bercakap kepada Pear Video, seorang jurucakap Zoo Nanning berkata, pihak pengurusan menyiasat kejadian malang itu. - odditycentral


kura-kura, zoo

Artikel Lain