suria

Kucing dilepaskan dari sangkar letih teruk mengawan dengan 5 kucing betina dalam satu malam, kena drip glukosa

Pihak hotel haiwan telah meminta maaf kepada pemilik kucing ini kerana melepaskannya dari sangkar tanpa pengawasan, menyebabkan haiwan itu letih teruk selepas mengawan dengan lima kucing betina. -foto Asia Wire

SEEKOR kucing terpaksa diberikan drip glukosa selepas mengawan dengan sekurang-kurangnya lima kucing betina dalam tempoh satu malam.

Kucing tersebut dilepaskan dari sangkar oleh petugas hotel haiwan.

Xiaopi, kucing baka Russian Blue ditinggalkan di hotel itu oleh pemiliknya, Zhao, di Wilayah Guangdong di Selatan China.

ARTIKEL BERKAITAN: Kajian: Kucing sebenarnya tahu namanya, cuma kadang-kadang pilih buat 'dek' apabila dipanggil

Zhao berkata telah memberitahu pihak hotel bahawa Xiaopi masih belum dimandulkan.

Pemilik kucing ini kecewa staf hotel haiwan melepaskan kucing Xiaopi dari sangkar dan akhirnya mengawan dengan lima kucing betina. -foto Asia Wire

Keesokan harinya Zhao menyedari Xiaopi telah dikeluarkan dari sangkar dan dibiarkan bebas berkeliaran di hotel tersebut setelah stafnya pulang.

Zhao menulis di media sosial: "Saya fikir mereka profesional, tetapi staf di situ tak beri Xiaopi makan pada waktu siang dan biarkan dia bebas berkeliaran pada waktu malam.

"Betul, semua kucing dibiarkan bebas di sekitar premis dan kemudian pekerja itu pulang.

"Antara pukul 10.40 malam dan 5 pagi, kucing saya mengawan dengan lima kucing betina. Itu hanya yang saya dapat tengok dalam rakaman CCTV."

Zhao mendakwa kakitangan hotel itu kemudian menyalahkannya dan merungut bahawa beberapa pemilik kucing betina lain tidak merancang untuk mempunyai anak.

"Boleh pula mereka yang kecewa dengan saya. Mereka mahu saya beri penjelasan kepada semua pemilik kucing lain.

"Kucing saya keletihan dan perlu diberikan glukosa, dan ini salah saya?"

Xiaopi keletihan. -foto Asia Wire

Zhao kemudian mendedahkan bahawa hotel haiwan itu memohon maaf dan menawarkan untuk membayar kos rawatan Xiaopi.

"Mereka akan bayar pampasan kepada setiap pemilik kucing yang bunting 500 Yuan (RM293) dan berjanji untuk menjual anak-anak kucing untuk pihak mereka.

"Pemilik lain juga beritahu saya mereka sama ada akan memberi saya seekor anak kucing atau 1,000 Yuan (RM586) jika kucing mereka bunting," katanya.

Seekor kucing baka Russian Blue boleh bernilai antara RM1,800 sehingga lebih dari RM5,167.

Zhao berkata Xiaopi kini dia pulih seperti biasa dan berada dalam keadaan stabil. -Daily Mail UK

kucing, mandul, mengawan, hotel haiwan

Artikel Lain