suria

MH17: Waran tangkap terhadap 3 warga Rusia, seorang warga Ukraine

Pesawat MH17 ditembak jatuh di Ukraine pada 2014.

PASUKAN penyiasat antarabangsa pada Rabu memberitahu bahawa mereka mengeluarkan waran tangkap terhadap empat suspek, terdiri daripada tiga warga Rusia dan seorang warga Ukraine berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh pada 2014.

Siasatan yang diketuai Belanda itu berkata, ia akan mendakwa tiga warga Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Oleg Pulatov serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko.

Suspek boleh dibicarakan tanpa kehadiran (in absentia), walau bagaimanapun, Belanda memberitahu bahawa Rusia tidak bekerjasama dengan penyiasatan dan dijangka tidak menyerahkan sesiapa yang didakwa.

Pasukan antarabangsa yang diketuai oleh Belanda yang bertanggungjawab mengendalikan kes MH17, memaklumkan mengenai perkembangan mereka kepada keluarga mangsa pada Rabu. 

Pesawat MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, di timur Ukraine dalam penerbangannya dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Kesemua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh.

Sebuah pasukan penyiasatan bersama ditubuhkan pada 2014 oleh Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine yang mendapati pesawat itu ditembak oleh peluru berpandu Rusia.- AFP

Artikel Lain