Pemandu takut ditangkap polis, Ferrari curi hangus selepas kemalangan - Dunia | mStar

Pemandu takut ditangkap polis, Ferrari curi hangus selepas kemalangan

Seorang wanita terkorban dalam nahas Ferrari di Perth.

SEORANG maut dan seorang lagi dikejarkan ke hospital selepas kereta Ferrari curi yang dinaiki mereka terbabit kemalangan ketika cuba melepaskan diri daripada polis dalam kejadian di Perth.

Polis berkata kenderaan itu dicuri di luar sebuah kafe di Perth Barat sebelum ia ditemui oleh pegawai yang berhenti di Vincent Street di Perth Utara sekitar jam 11.30 pagi.

"Ketika mereka menghampiri kenderaan itu untuk bercakap dengan orang di dalamnya, kenderaan itu melakukan pecutan, menyebabkan berlakunya kemalangan pada jarak 100 meter di hadapan dan terbakar," kata jurucakap polis.

"Salah seorang di dalamnya, seorang lelaki, dibawa ke hospital dan kini sedang membantu siasatan.

"Seorang lagi di dalam kenderaan itu mati di tempat kejadian."

Keadaan kereta Ferrari selepas api dipadam.

Individu yang maut itu adalah penumpang, seorang wanita dan pemandu Ferrari tersebut adalah lelaki.

Individu yang cedera ditahan dan diberi rawatan di tempat kejadian sebelum dibawa ke hospital.

Pegawai dari Unit Kemalangan Utama dan detektif dari Unit Hal Ehwal Dalam Negeri turut berada di tempat kejadian.

Polis berkata penutupan jalan terpaksa dilakukan dan menasihati pemandu untuk mengambil laluan alternatif selain menjangkakan kelewatan. -ABC

Ferrari , curi , terbakar , kemalangan

Artikel Berkaitan