suria

Nahas Puteri Diana jadi tarikan taman tema

Mendiang Puteri Diana. Foto AFP

KECOH apabila taman tema National Enquirer di Amerika Syarikat menjadikan tragedi kematian Puteri Diana sebagai salah satu tarikannya.

Pemilik taman tema itu menjadikan nahas jalan raya yang mengorbankan Puteri Diana pada 31 Ogos 1997 di Paris, Perancis.

Dengan mengenakan bayaran kepada orang dewasa sebanyak £20 (RM106.17), membolehkan pengunjung menyaksikan nahas itu yang dilakonkan semula.

Malah, kanak-kanak juga dibenarkan untuk menyaksikan tarikan tersebut.

Selain itu pengunjung akan membuat undian sama ada kerabat Diraja terlibat dalam kematian Diana selepas menyaksikan pertunjukan itu.

Tarikan itu yang dilaporkan dibuka pada Jumaat, merupakan salah satu tarikan utama bagi National Enquirer Live! di Pigeon Forge di Tennessee, Amerika Syarikat.

Gambaran artis mengenai tarikan National Enquirer Live! di taman tema yang dibuka pada Jumaat.

Pencipta tarikan itu, Robin Turner memberitahu bahawa ia merupakan model berkomputer yang mana pengunjung boleh melihat Paris dalam keadaan tiga dimensi (3D).

"Ia diprojekkan dan anda melihat bangunan dan semuanya dalam pertunjukan 3D.

"Ia menunjukkan laluan beliau (mendiang Puteri Diana) selepas meninggalkan hotel Ritz, dikejar paparazi dan bagaimana nahas berlaku," katanya.

Turner yang merupakan salah seorang pelabur di taman tema itu bagaimanapun tarikan Diana itu dianggap sensitif.

Beliau berkata, pengunjung akan melihat secara dekat imej mayat Diana.

"Tiada darah," katanya kepada laman web Amerika, Daily Beast.

"Anda melihat nahas itu menerusi animasi komputer," tambahnya. - Mirror UK

Artikel Lain