Takut abang marah kerana foto bogel, lelaki cekik rakan sedang tidur kerana nekad mahu masuk penjara - Dunia | mStar

Takut abang marah kerana foto bogel, lelaki cekik rakan sedang tidur kerana nekad mahu masuk penjara

Seorang lelaki dari Pakistan yang bekerja di Dubai mengaku mencekik rakannya tanpa sebab sehingga mati dalam usahanya mahu masuk penjara. -Gambar hiasan

SEORANG pekerja binaan berusia 27 tahun dibicarakan di mahkamah di Dubai kerana menjerut seorang rakan sekerja dari India dengan kain sehingga maut.

Menurut rekod pendakwa raya, pekerja dari Pakistan itu tekad untuk melakukan sebarang bentuk jenayah yang boleh menghumbankan dirinya ke penjara asalkan dia tidak kembali ke negara asalnya gara-gara mempunyai masalah dengan abangnya.

Dia mengaku bersalah atas tuduhan membunuh ketika muncul di mahkamah. Insiden tersebut dilaporkan pada 26 Februari tahun ini di balai polis Al Rashidiya.

Seorang pegawai polis berkata satu kejadian serangan dilaporkan pada jam 2.25 petang di tapak pembinaan bangunan di Nad Al Hamar.

"Kami difahamkan salah seorang yang terlibat dalam pergaduhan itu meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

"Apabila sampai di tempat kejadian, kami mendapati defendan ditangkap oleh polis peronda. Saksi memberitahu kami defendan menindih badan mangsa dan mencekik dia dengan kain."

Pegawai itu memberitahu pendakwa bahawa tertuduh mengaku telah membunuh mangsa tanpa berlaku sebarang perselisihan sebelum itu.

"Dia mengakui membunuh mangsa yang sedang tidur pada waktu rehat.

"Dia memberitahu mencekik mangsa sehingga mati. Dia menyatakan keinginannya untuk masuk penjara kerana tidak mahu pulang ke negaranya.

"Dia mendakwa seorang lelaki telah mengambil gambar bogelnya dan menghantar foto itu kepada abangnya di Pakistan yang kemudian mengugutnya.

"Pekerja itu mendakwa dia tekad untuk melakukan apa-apa jenayah untuk masuk penjara."

Pegawai polis itu berkata tertuduh juga kelihatan normal selepas insiden tersebut dan tidak menunjukkan tanda-tanda penyesalan.

"Dia mengaku tidak melepaskan mangsa sehinggalah dia tidak bergerak."

Seorang pekerja dari Mesir yang berusia 24 tahun menceritakan bahawa dia dan pekerja lain melihat tertuduh mencederakan mangsa dengan menekan lutut kanannya di bahunya.

"Hidung mangsa kemudian berdarah. Walaupun kami menjauhkan lelaki itu dari mangsa, dia tetap mencekik mangsa dengan kain yang sama."

Perbicaraan akan diteruskan pada 13 Mei. -Khaleej Times

penjara , bunuh , bogel , foto

Artikel Sebelum

Meghan sudah bersalin?

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain