Lelaki menang saman, dapat semula wangnya hampir RM1 juta selepas 9 bulan bermewah dengan kenalan Tinder - Dunia | mStar

Lelaki menang saman, dapat semula wangnya hampir RM1 juta selepas 9 bulan bermewah dengan kenalan Tinder

Manuela Radeva. -foto Champion News

SEORANG perunding industri minyak yang menyerahkan lebih £180,000 (RM943,000) kepada teman wanita yang ditemuinya di Tinder menang tuntutan mahkamah, dan wanita itu diarahkan membayar balik wang tersebut.

Marcel Kooter, 57, berkata dia 'dibutakan oleh tarikan' apabila bersetuju untuk memindahkan £182,000 (RM953,000) kepada Manuela Radeva, kerana percaya dia adalah seorang pekerja pelaburan di Citibank.

Radeva berpindah ke kediaman Kooter di Woolwich semasa mereka bercinta selama sembilan bulan, bermula ketika mereka bertemu melalui aplikasi janji temu Tinder pada Februari 2017.

Kooter memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa profil Tinder Radeva menunjukkan dia masih bujang tetapi sebenarnya wanita berusia 37 itu telah berkahwin beberapa minggu sebelum mereka bertemu dan tidak bekerja dalam perbankan pelaburan.

Kooter memfailkan tindakan undang-undang untuk menuntut wangnya selepas hubungan itu berakhir, dengan alasan dia telah memberikan sebanyak £182,000 untuk melabur.

Radeva bagaimanapun berkata lelaki itu menyerahkannya untuk membiayai gaya hidup mereka, tetapi Hakim John Cavanagh QC pada Jumaat memerintahkan supaya dia perlu membayar balik wang itu.

Marcel Kooter. -foto Champion News

Mahkamah mendengar bahawa pasangan itu pergi bercuti dan bermain ski, selain Kooter menghabiskan ribuan ringgit untuk membeli hadiah.

Peguam Radeva, Michael Collard berhujah: "Ini adalah hubungan penuh rasa cinta. Ia bukan hubungan profesional. Sama ada wang itu dibayar bukanlah perkara penting, persoalannya ia untuk tujuan apa? Mereka jelas menjalani gaya hidup mahal dan mewah dan banyak wang dibelanjakan."

Peguam Kooter Neil Vickery berkata "cukup jelas bahawa wang yang dibayarnya adalah pelaburan."

Dalam keputusannya, Hakim Cavanagh berkata Radeva menandatangani emel dengan jawatan 'Pengurus Modal Pelaburan' dan dia telah ditunjukkan mesej antara pasangan itu semasa mereka membuat pengaturan pelaburan.

"Baru saja meletakkan sejumlah besar wang ke dalam akaun bank kamu nampak agak melulu," kata Kooter.

Wanita itu menjawab: "Jangan risau tentang ini, kamu boleh mempercayai saya sepenuhnya".

Hakim berkata terdapat banyak bukti untuk menunjukkan Kooter memberikan jumlah wang yang besar kepada Radeva supaya wanita itu boleh melabur bagi pihaknya, telah mendorongnya untuk percaya bahawa dia seorang pelabur pakar yang bekerja dalam industri kewangan.

"Dalam penghakiman saya, adalah sangat tidak masuk akal bahawa dia (Kooter) memberikan wang ini atas apa-apa sebab lain selain dia (Radeva) harus melabur untuknya.

"Mungkin dianggap pelik bahawa seorang ahli perniagaan berpengalaman akan memberikan jumlah ini kepada seseorang yang baru dikenalinya tanpa persetujuan bertulis. Dia mengaku naif dan menyatakan dia dibutakan oleh tarikan."

Hakim memerintahkan Radeva membayar £182,050 ditambah bunga £3,641, serta lebih dari £20,000 kos guaman.

Dia menolak permintaan Kooter untuk menuntut €36,000 yang didakwa telah dipinjamkan kepada Radeva. -Evening Standard

Tinder , saman , kenalan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Raja Dadah Mexico tewas di AS

Artikel Berkaitan

Artikel Lain