suria

Instagram mohon maaf selepas 'buat hal', kemas kini terbaharu undang kemarahan ramai

Perubahan yang diperkenal Instagram pada Khamis mengundang kemarahan ramai. FOTO: Lightflows

KEMAS kini terbaharu aplikasi popular Instagram ternyata mengundang kemarahan warga maya.

Lebih teruk, ia mengubah paparan antara muka (Interface) laman perkongsian foto dan video itu, jauh berbeza dari kebiasaan sebelum ini.

Rata-rata pengguna Instagram meluahkan kemarahan mereka menerusi laman Twitter sejak Khamis malam berhubung perkara tersebut.

Dalam kemas kini itu, pengguna tidak lagi berupaya melihat paparan secara vertical (dari atas ke bawah) sebaliknya mereka perlu melihat secara horizontal (kiri ke kanan), sama seperti fungsi Instagram Story.

Susulan itu, pihak Instagram turut mengakui kesilapan mereka menerusi laman Twitter, awal pagi Jumaat.

"Gara-gara gangguan, sebilangan pengguna menyaksikan perubahan paparan mereka hari ini. Kami segera memperbaiki isu ini dan paparan mereka kembali normal. Mohon maaf atas kekeliruan," tulis pengendali akaun rasmi Instagram di Twitter.

Posting berkenaan turut menerima lebih 14,000 ulang kicau (Retweet) dan menerima lebih 7,000 komen.

"Bagaimana jika kamu mengubahnya semula kepada paparan secara kronologikal seperti yang kami mahukan," tulis @Kozapell.

"Gara-gara gangguan itu ia akan menjadi alasan terbaharu saya untuk semua perkara."

"Kenapa Instagram dah terdesak nak jadi Tinder, swipe ke kanan untuk individu seterusnya," tulis seorang lagi netizen.

Respon pantas Instagram yang mengubah semula paparan kepada normal turut menerima pujian ramai.

Malah, kebanyakan pengguna menyifatkan Instagram melakukan pusingan U (U-turn) kerana tidak tahan dengan respon negatif yang diterima sejak kemas kini itu diperkenalkan.- Metro.UK.

Instagram, Kemas Kini

Artikel Lain