Beruang 'ratah' anjing, tuan yang selamatkannya 4 tahun lalu sampai tinggal tulang - Dunia | mStar

Beruang 'ratah' anjing, tuan yang selamatkannya 4 tahun lalu sampai tinggal tulang

Beruang ini ditemui sedang berkeliaran di luar sangkar dengan pintu terbuka. -fotoEasttowestnews

SEEKOR beruang menyerang dan makan tuannya sampai tinggal tulang setelah terlepas dari sangkar, dalam kejadian di Rusia.

Selepas pemburu itu dilaporkan hilang oleh jiran dan saudara-mara, polis melancarkan operasi mencari.

Tulang rangka lelaki itu ditemui oleh polis berhampiran rumahnya.

Mereka juga menemui kesan darah pada salji selepas serangan maut beruang tersebut ke atas tuannya, The Sun melaporkan.

-foto Easttowestnews

Beruang berwarna coklat itu dipelihara oleh mangsa, Sergey Grigoriyev, 41, selepas haiwan itu bersama seekor lagi anak beruang diselamatkan empat tahun lalu.

Media tempatan melaporkan haiwan itu juga menyerang dan makan salah seekor daripada tiga anjing pemburu tersebut dengan cara yang sama sebelum melarikan diri.

Polis melancarkan operasi mencari beruang tersebut dan menembak haiwan itu yang bertindak agresif.

"Para pegawai menggunakan senjata mereka untuk membunuh haiwan berbahaya itu. Dengan itu beruang berkenaan tidak lagi menimbulkan ancaman kepada orang ramai," kata polis dalam satu kenyataan.

Detektif kanan Alexey Petrov berkata: "Sangkar terbuka. Haiwan itu keluar merayau dan bertindak agresif. Kami menemui tulang manusia di tempat kejadian."

Sergey Grigoriyev bersama haiwan peliharaannya. -foto Easttowestnews

Mirror melaporkan, seorang jiran berkata dia telah minum teh dengan Grigoriyev, tetapi selepas itu tidak lagi melihatnya.

"Kami memanggilnya tetapi dia tak jawab.

"Apabila saudara-maranya datang, mereka melihat seekor beruang sedang berkeliaran di sekeliling kawasan itu. Seekor anjing ada bersama mereka.

"Ia menyerang beruang itu, memberi peluang kepada mereka untuk melarikan diri ke dalam kereta."

Sangkar tempat beruang dikurung. -foto Easttowestnews

Detektif Petrov berkata anjing milik Grigoriyev dan yang seekor lagi yang datang dengan saudara-maranya juga diserang dan dimakan beruang yang sama sampai tinggal tulang.

Beruang itu sebelum ini pernah menyerang tuannya tetapi lelaki tersebut mengabaikan nasihat kawan-kawan supaya menjauhinya.

Jawatankuasa Siasatan Rusia sedang mengkaji kes ini.

Insiden terbaharu ini berlaku selepas seekor beruang mengoyak lengan seorang wanita dan memakannya semasa parti Krismas di Achinsk, Rusia.

Wanita itu dilaporkan mahu memberi makan kepada beruang tersebut.

Sebaik sahaja dia memasukkan lengannya di dalam sangkar, beruang itu menggigitnya. Haiwan itu kemudian makan lengan wanita itu.

"Kami sering memberi mereka makan," kata salah seorang yang tinggal di rumah tetamu itu.

"Kami menggunakan sebatang kayu yang disediakan di situ untuk menolak makanan ke arah sangkar. Kadang-kadang beruang nganga mulut luas-luas dan anda boleh baling epal ke dalamnya. Mereka sangat bijak, meregangkan kaki minta makanan."

Walaupun ini adalah kejadian yang berlaku di Rusia baru-baru ini, insiden di Kanada pada November, juga mengerikan.

Seorang ibu dan bayinya yang berusia 10 bulan diserang dan dibunuh oleh beruang ganas di kawasan terpencil Yukon, sebuah wilayah di barat laut negara itu.

beruang , tuan , serang

Artikel Lain