suria

Kereta terbang pertama, bertukar kepada pesawat kurang dari 1 minit mula dijual Oktober

KERETA terbang pertama di dunia sedia untuk berada di pasaran, dengan pra-jualan dijadualkan bermula bulan depan.

Kenderaan elektrik hibrid pertama dengan dua tempat duduk itu, yang boleh bertukar dari mod memandu ke mod terbang dalam masa kurang dari satu minit akan dihantar kepada pelanggan tahun depan.

Menurut pengilang, Terrafugia, yang dimiliki oleh syarikat induk Volvo, Transition mampu terbang sehingga 400 batu (640km) dengan pecutan terpantas 160km sejam.

Harganya belum ditentukan tetapi jualan awal untuk model perintis pertama akan bermula pada Oktober, menurut agensi berita China, Xinhua.

Penambahbaikan yang dibuat untuk kenderaan itu baru-baru ini termasuklah motor elektrik hibrid, tempat duduk dinaik taraf, ruang penyimpanan bagasi lebih banyak serta beg udara dan tali pinggang keledar yang lebih baik, kata syarikat itu.

Kenderaan ini juga dilengkapi dengan kamera pandang belakang dan sistem payung terjun yang baharu, serta mod 'rangsangan' yang memberikan 'satu kuasa tambahan semasa terbang'.

Ia disahkan sebagai Pesawat Sukan Ringan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan pada tahun 2016 dan terhad untuk kumpulan pengguna pertama di Amerika Syarikat sahaja.

Kenderaan ini juga memenuhi piawaian Pentadbiran Keselamatan Lebuhraya dan Keselamatan Lalu Lintas Kebangsaan tetapi pengguna memerlukan lesen juruterbang untuk mengendalikan Transition.

Syarikat ini percaya Transition boleh menjadi kenderaan yang berguna bagi juruterbang untuk mendarat di lapangan terbang kecil dan terus memandu pulang ke rumah.

Pesawat ini mempunyai sayap boleh lipat, dengan berat kira-kira 590kg dan mempunyai gear pendaratan tetap. Ia boleh terbang pada ketinggian maksimum 10,000 kaki.

Kereta konsep Terrafugia seterusnya, TF-X, juga dilaporkan akan dilancarkan pada bulan Oktober.


Model itu, yang dipercayai mampu berlepas dan mendarat secara menegak, dijangka memasuki pasaran pada tahun 2023.

"TF-X, akan dikawal oleh komputer supaya penumpang boleh menaip destinasi sebelum berlepas.

"TF-X tidak memerlukan sebuah lapangan terbang untuk berlepas dan mendarat dan ia akan dipandu di semua jalan raya dan lebuh raya - menyediakan kemudahan pengangkutan pintu ke pintu yang sebenar," kata syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Chris Jaran pada Julai berkata: "Membangunkan teknologi baharu ini telah membolehkan kami menguji beberapa mekanisme berbeza dan menjana peningkatan proses.

"Kami berada di titik kritikal di mana kami dapat melaksanakan ciri-ciri reka bentuk terbaik berdasarkan bertahun-tahun penerbangan dan ujian memandu.

"Ini akan meningkatkan fungsi, keselamatan dan estetika untuk pengalaman terbang dan memandu optimum."

kereta terbang, Transition

Artikel Lain