suria

Doktor bingung 10 jarum tersekat di tekak budak perempuan

DOKTOR-doktor di hospital yang dikendalikan oleh kerajaan di Kolkata Barat, Bengal telah mengeluarkan sembilan jarum dari kerongkong seorang gadis berusia 14 tahun selepas pembedahan selama empat jam.

Aparupa Biswas dibawa ke Kolej Perubatan dan Hospital Nil Ratan Sircar pada Isnin dan dibedah keesokan harinya.

Pada mulanya pakar bedah tidak dapat memberi penjelasan bagaimana jarum itu berada dalam kerongkongnya kerana kanak-kanak itu tidak boleh bercakap.

Pihak berkuasa hospital berkata jarum itu tidak ditelan oleh Aparupa tetapi percaya ia dimasukkan dari luar.

Bagaimanapun, setelah dapat bercakap dengan pesakit, doktor menilai jarum-jarum itu tidak ditelan pada masa yang sama tetapi dalam satu tempoh masa tertentu.

Aparupa juga tidak dipaksa menelannya tetapi melakukannya secara sukarela dan sengaja.

Polis sedang meneliti sama ada tindakannya itu adalah sebahagian dari sebarang amalan untuk cuba membawa kembali adiknya yang mati.

Mereka juga menyiasat sama ada dia menjadi sebahagian daripada sebarang cabaran.

-foto NewIndianExpress

"Kami berharap mendapat jawapan di sebalik jarum tersebut sebaik sahaja dia kembali normal selepas berehat beberapa hari, tetapi sangat membimbangkan jika dia terpikat atau dipengaruhi oleh seseorang untuk melakukannya.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka," kata pegawai kanan polis.

Jururawat telinga-hidung-tekak (ENT) Manoj Mukherjee ketika bercakap kepada pemberita memberitahu bahawa jarum itu tersekat di otot kerongkong kanak-kanak itu dan tidak menembusi salur makanan.

Ibu bapanya enggan bercakap dengan media.

Dia dibawa ke hospital daerah selepas mengadu sakit tekak pada 29 Julai.

Doktor mendapati terdapat satu jarum di bahagian belakang kerongkongnya dan lapan yang lain berhampiran salur makanan selepas imbasan x-ray.

Jiran-jiran budak perempuan itu di Krishnagar mendakwa kejadian ini mungkin mempunyai kaitan dengan bomoh.

"Abang budak itu meninggal kira-kira tiga tahun lalu. Kemudian pasangan itu mengambil seorang bayi perempuan dijadikan anak angkat dan dia juga meninggal dunia.

"Berikutan dua tragedi ini dalam keluarga, anak perempuan mereka mengalami kemurungan," kata seorang jiran yang tidak mahu dikenali.

"Kami mengesyaki ibu bapanya membawanya berjumpa bomoh untuk membawanya kembali ke kehidupan biasa," kata jiran itu. -Hindustan Times

jarum, bomoh

Artikel Lain