suria

Jurugambar Rakam Saat Dramatik Ibu Lahir Anak Di Lantai Hospital

Detik cemas apabila seorang ibu tidak sempat dibawa ke dewan bersalin. -foto Tammy Karin

BEBERAPA gambar dramatik seorang ibu melahirkan anak di koridor hospital telah muncul.

Semuanya berlaku apabila Jesica Hogan terlewat tiba di hospital.

Ketika itu Hogan, dari Kansas, bakal menyambut kelahiran anak kelima dan satu-satunya anak lelakinya, Max, dalam kejadian pada Julai.

Hogan, yang melahirkan Max di Hospital Via Christi di Manhattan, Kansas, telah mengalami kontraksi tetapi tidak terus pergi ke hospital kerana menganggap masa kelahiran belum tiba.

Pada satu masa, dia merasakan kontraksi berbeza dan pada waktu itu sedar dia akan melahirkan anak dalam masa terdekat.

Dalam suasana panik, suaminya, Travis bagaimanapun tetap tenang dan menghantarnya ke hospital pada pukul 3 pagi.

Keseluruhan kejadian itu dirakamkan oleh jurugambar keluarga dan kelahiran, Tammy Karin.

-foto Tammy Karin

Dalam blognya, dia menjelaskan:

"Saya hanya sempat melepasi pintu automatik kedua sebelum menuju ke dewan bersalin. Pada ketika ini saya dapat rasakan ada sesuatu akan keluar dan saya terus membuka seluar apabila dapat merasakan badan saya menolak kepala bayi.

"Saya tunduk dan dapat rasa kepalanya dengan tangan saya. Saya lihat suami saya dan minta dia menyambutnya. Tanpa ragu-ragu dia melakukannya.

"Pada masa itu, Tammy mula ambil gambar! Kemudian jururawat bergegas memegang saya. Saya sedia untuk meneran keluar bayi.

"Travis kata pada masa itu jururawat terus menyokong kepala bayi dan akhirnya bayi berjaya keluar.

-foto Tammy Karin

"Saya melahirkannya di atas lantai hospital di pintu masuk wad kecemasan pada jam 3.38 pagi, tidak lama selepas kami melangkah masuk ke hospital. Mereka meletakkan bayi di dada saya, kepalanya ada kesan lebam kerana kelahiran yang begitu cepat.

"Para jururawat berasa sangat kagum, begitu juga suami saya. Mereka semuanya berhati-hati membantu meletakkan bayi ke dada saya dan suami saya meletakkan tuala di bawah kepala saya. Saya tidak berapa sedar tapi saya tahu kehadirannya di sebelah kanan saya."

lahir bayi, Tammy Karin

Artikel Lain