suria

Pramugari Dipecat Gara-Gara Makan Sandwich

GARA-GARA memakan sandwich berharga 4.50 pound (RM24), seorang pramugari jelita syarikat penerbangan EasyJet, dipecat oleh majikannya atas tuduhan mencuri selepas gagal menunjukkan resit pembelian makanan itu.

Kes tersebut yang dibawa ke tribunal pekerja mendapati, pramugari itu, Shannon Gleeson, 22, memakan sandwich yang diberikan oleh pengurusnya sendiri ketika dia bertugas di dalam penerbangan ke luar negara buat kali pertama pada September 2015.

Sandwich berkenaan merupakan produk milik EasyJet yang sepatutnya dijual kepada penumpang.

Berdasarkan keterangan Gleeson, dalam kejadian tersebut, dia tidak menemukan makanan yang selamat untuk dimakan ketika dalam penerbangan kerana dia mempunyai masalah alahan pada produk berasaskan kacang.

Namun pengurusnya memberikan sandwich kepada Gleeson untuk dimakan tetapi pihak syarikat memecatnya kerana dia gagal mempamerkan resit pembelian makanan tersebut.

Malah syarikat itu mendakwa, Gleeson melanggar polisi syarikat kerana tidak meminta pengurus yang memberikan sandwich tersebut menunjukkan resit sebagai bukti pembelian.

Dalam pada itu, Gleeson yang sudah berkhidmat selama tiga tahun bersama EasyJet berkata, dia bukan pencuri seperti yang dilabel oleh pihak syarikatnya.

Jelasnya, dia sudah meminta maaf atas kesilapannya itu dan sedia membayar semula RM24 berdasarkan kos sandwich berkenaan.

"Sebaliknya saya dipecat bersama pengurus kabin atas kesalahan kesalahan mencuri," katanya.

Kes tersebut diselesaikan secara baik di luar mahkamah tetapi butiran lanjut berkenaan perkara itu tidak didedahkan.

EasyJet

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain