suria

41 Maut Puting Beliung Landa AS

Orang ramai meninjau kediaman mereka yang musnah dalam kejadian puting beliung.

DALLAS: Ribut petir melanda selatan dan tengah Amerika Syarikat (AS) sepanjang cuti Krismas yang membawa kepada banjir kilat dan puting beliung, menggorbankan sekurang-kurangnya 41 nyawa dan berjuta penumpang terkandas.

Seramai 11 orang dilaporkan terbunuh di Dallas sepanjang hujung minggu akibat puting beliung termasuk satu kes di mana angin dilaporkan bertiup selaju 322 kilometer sejam.

Puting beliung turut melanda Bandaraya Garland, menggorbankan lapan nyawa dengan beberapa kenderaan tercampak dari lebuh raya.

"Puting beliung dengan kelajuan seperti itu amat jarang berlaku di kawasan metropolitan," kata pakar meteorologi Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan, Matt Bishop.

Kematian lain turut dilaporkan di kawasan metropolitan Dallas, bandar raya keempat paling sesak di AS yang dihuni lebih tujuh juta penduduk. 

"Ramai lagi dilaporkan cedera di wilayah berkenaan. Ia satu kemusnahan yang teruk," kata jurucakap polis Garland, Lt Pedro Barineau.

Di Illinois, tiga dewasa dan dua kanak-kanak dilaporkan mati lemas selepas kereta yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras pada malam Sabtu di perkampungan Patoka, kira-kira 137 kilometer di timur St. Louis.

Ribut petir yang melanda wilayah itu dua hari sebelum sambutan Hari Krismas sudah mengorbankan 18 orang, termasuk 10 di Mississippi.

Menurut Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan AS, lima kejadian puting beliung dilaporkan di Texas dan satu di Oklahoma pada Sabtu.

Gabenor Texas, Greg Abbott mengisytiharkan Dallas County dan tiga lagi daerah berdekatan sebagai kawasan bencana.

Pihak berkuasa turut melaporkan, lebih 1,100 penerbangan terpaksa dibatalkan dengan 25, 000 penduduk di Texas bergelap berikutan terputus bekalan elektrik.


puting beliung, Amerika Syarikat

Artikel Lain