suria

Serangan Di Paris: Singapura Tingkatkan Kawalan Keselamatan

SINGAPURA: Singapura telah mengeluarkan amaran keselamatan pada tahap tinggi dan meningkatkan langkah keselamatan susulan insiden serangan di Paris pada Jumaat yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 158 orang terbunuh.

Dalam kenyataan pada Sabtu, Menteri Dalam Negeri K.Shanmugam berkata: "Di Singapura hari ini, kami mengeluarkan amaran keselamatan pada tahap tinggi. Kami juga meningkatkan langkah-langkah keselaamtan, pemeriksaan di sempadan dan kesiapsiagaan.

"Serangan ini menunjukkan tiada negara yang kebal, malah walaupun langkah keselamatan dipertingkatkan. Bersama-sama, setiap orang memainkan peranan untuk memastikan Singapura selamat.

"Kami menggalakkan setiap orang supaya berwaspada dan melaporkan sebarang kegiatan atau orang yang mencurigakan kepada pihak berkuasa," katanya.

Shanmugam yang juga Menteri Undang-Undang menyifatkan serangan itu bertujuan untuk mencetuskan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

"Oleh itu, kami perlu terus membina daya tahan sosial kami. Ini akan memastikan sekiranya insiden berlaku di sini, kami akan mendepaninya bersama-sama, pulih semula dengan cepat dan menjadi lebih kuat dan lebih bersatu.

"Kami merakamkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa serangan di Paris, dan keluarga serta orang tersayang mereka. Dalam waktu sukar ini, doa kami untuk rakyat Perancis. Kami mendoakan keadaan mereka kembali pulih dan mereka akan muncul lebih kuat sebagai satu komuniti," katanya.

Susulan tragedi itu, pihak berkuasa Perancis dilaporkan telah mengisytiharkan darurat di negara itu dan peningkatan kawalan di sempadan.

Singapura

Artikel Sebelum