suria

Taikun Hartanah Malaysia Peter Yeoh Disemadikan Di Brisbane

Dr Peter Yeoh Tiong Yong (kiri).
BRISBANE: Rakan-rakan, keluarga dan sekutu perniagaan merupakan antara lebih 300 orang yang menghadiri upacara pengebumian taikun hartanah dari Malaysia Dr Peter Yeoh Tiong Yong yang juga merupakan tokoh perniagaan dan sosial terkemuka bandar ini, di Brisbane City Hall pada Jumaat.

Jasa dan sumbangan besar Yeoh dalam bidang politik dan perniagaan Queensland itu jelas terbukti daripada kehadiran begitu ramai ahli politik dan golongan perniagaan utama Queensland yang datang untuk memberi penghormatan terakhir serta ucapan takziah kepada ahli keluarga.

Beliau meninggalkan seorang balu, Alice dan empat anak, Pat, Yvonne, Peggy dan Zak.
 
Antara orang kenamaan yang turut memberikan penghormatan terakhir di upacara pengebumian beliau ialah Konsulat Besar China di Brisbane, Dr Zhao Yongchen; Pengerusi Springfield Land Corporation Dr Maha Sinnathamby; bekas presiden Queensland Liberal Con Galtos; Setiausaha Agung Queensland Chinese United Council, Michael Ma, datuk bandar Brisbane dan Ipswich, Lord Mayors Graham Quirk dan Mayor Paul Pisasale serta Perdana Menteri Queensland Campbell Newman. 

Ucapan takziah serta penghormatan terakhir mereka membuktikan ikatan persahabatan dan keakraban yang terjalin antara mereka dengan Yeoh yang telah hampir 30 tahun menetap di Australia. 

Yeoh disemadikan di Centenary Memorial Gardens di bahagian barat pinggir bandar ini selepas meninggal dunia pada Khamis lepas akibat sakit yang telah lama dihadapi. 

Artikel Lain