suria

Proses Pengundian Di Thailand Bermula Walaupun Bermasalah

Yingluck disambut penyokong-penyokongnya sebaik sahaja tiba di pusat pembuangan undi di Bangkok, pagi Ahad. -foto AP
Yingluck disambut penyokong-penyokongnya sebaik sahaja tiba di pusat pembuangan undi di Bangkok, pagi Ahad. -foto AP
Yingluck disambut penyokong-penyokongnya sebaik sahaja tiba di pusat pembuangan undi di Bangkok, pagi Ahad. -foto AP

BANGKOK: Pengundian di Thailand bermula pada Ahad, dalam pilihan raya yang penuh masalah.

Penunjuk perasaan anti -kerajaan memaksa penutupan lebih dari 10 peratus tempat mengundi di seluruh negara, kata pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya.

"Pusat mengundi telah dibuka," kata Setiausaha Agung Suruhanjaya Pilihan Raya, Puchong Nutrawong, sambil menambah penunjuk perasaan menghalang pengundian di seluruh 12 wilayah selatan dan sekurang-kurangnya dalam tiga daerah di Bangkok.

Pilihan raya yang dipanggil oleh Perdana Menteri Yingluck Shinawatra adalah percubaan tidak berjaya beliau untuk memadamkan ketegangan yang meningkat di negara ini, yang menyaksikan perhimpunan adakalanya bertukar kepada himpunan berdarah yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan beliau sejak tiga bulan lalu.

Proses pengundian diadakan sehari selepas pertempuran bersenjata di utara pinggir bandar Bangkok, Lak Si, di mana penyokong kerajaan dan penunjuk perasaan bertempur dan menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh orang cedera.

Di wilayah selatan Thailand, pergerakan penunjuk perasaan anti-kerajaan menghentikan kerja-kerja mengedarkan kertas dan peti undi ke tempat-tempat mengundi di 42 kawasan pilihan raya, tambah Puchong.

Di Bangkok pihak berkuasa pilihan raya tidak dapat mengadakan pemilihan sekurang-kurangnya di tiga daerah.

"Di daerah Ratchathevi, Din Daeng dan Lak Si ia tidak dapat dibuka setelah ia ditutup malam tadi (selepas pertempuran bersenjata)," kata Pentadbiran Metropolitan Bangkok, Ninart Chalitanon kepada AFP.

Pihak berkuasa berkata mereka akan meningkatkan keselamatan di sekitar kawasan pilihan raya, dengan menempatkan polis dan tentera di jalan-jalan di ibu negara.

Tetapi kerajaan setakat ini enggan menggunakan kekerasan terhadap perserta perhimpunan, walaupun mengisytiharkan darurat bulan lepas.

Pengundian bagaimanapun diteruskan di baki 65 wilayah Thailand, kata Suruhanjaya Pilihan Raya.

Artikel Sebelum

Tiga Dipenjara Bakar 'Lelaki Gay'

Artikel Berikut

Artikel Lain