suria

Mahkamah China Tolak Rayuan Bo Xilai, Kekal Hukuman Penjara Seumur Hidup

BEIJING: Mahkamah China pada Jumaat menolak rayuan bekas ahli politik terkenal China, Bo Xilai dan mengekalkan hukuman asal penjara seumur hidup terhadap pertuduhan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Mahkamah Rakyat Tertinggi Shandong mengekalkan hukuman yang diputuskan bulan lepas oleh Mahkamah Rakyat Pertengahan Jinan di wilayah Shandong, timur China.

Mahkamah Rakyat Pertengahan itu pada 22 September menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Bo, 64, bekas ketua parti bagi Majlis Perbandaran Chongqing, di barat daya China, lapor agensi berita Xinhua.

Bo didapati bersalah menerima rasuah berjumlah 20.44 juta yuan (kira-kira US$3.3 juta) sama ada secara peribadi atau menerusi anggota keluarganya antara 1999 dan 2012.

Dia dihukum penjara seumur hidup kerana rasuah dan hak politiknya dilucutkan seumur hidup serta semua aset peribadi dirampas.

Dia dihukum penjara 15 tahun bagi penyelewengan serta harta peribadi 1 juta yuan dirampas. Bo juga dihukum penjara tujuh tahun kerana penyalahgunaan kuasa.

Tahun lepas, Bo disingkirkan daripada Parti Komunis China (CPC) selepas dituduh rasuah, hubungan seksual yang tidak wajar dengan beberapa wanita dan menyembunyikan perbuatan isterinya, Gu Kailai membunuh ahli perniagaan Britain Neil Heywood.

Gu dijatuhi hukuman mati dengan dua tahun penangguhan hukuman bagi membunuh dengan sengaja oleh Mahkamah China pada Ogos. Kes Bo dilihat sebagai skandal politik terbesar China. - BERNAMA

Artikel Lain