suria

Kerajaan Thai Beri Lebih Banyak Wang Kepada Penanam Jagung

BANGKOK: Kerajaan Thailand telah memperuntukkan satu tambahan 2.39 bilion baht untuk memberikan jaminan harga bagi jagung.

Langkah itu diambil kurang seminggu selepas peladang jagung menghalang sebatang jalan raya di utara negara itu sebagai bantahan kepada harga yang rendah untuk menarik perhatian kerajaan.

Niwatthamrong Boonsongpaisarn, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan, berkata kabinet telah meluluskan peruntukan yang lebih besar untuk membantu peladang jagung berikutan harga hasil tanaman itu yang rendah di pasaran antarabangsa.

Dana itu akan membantu membeli 1.875 juta tan metrik jagung daripada kira-525,000 petani di seluruh negara.

Ia akan menjamin harga 9 baht sekilogram dengan 14.5 peratus lembapan dan 7 baht sekilogram untuk jagung dengan 30 peratus lembapan.

Harga jagung antarabangsa telah merosot ke kira-kira 5.55-6 baht sekilogram.

Petani jagung yang membuat bantahan telah menggesa kerajaan menjamin harga pada 8 baht sekilogram untuk jagung dengan 30 peratus lembapan dan 10 baht sekilogram untuk jagung dengan 14.5 peratus lembapan.

Pada 3 Sept, kabinet Thai telah meluluskan satu subsidi 1.9 bilion baht untuk peladang jagung. Ia menjadikan jumlah subsidi yang diumumkan dalam masa satu bulan kepada hampir 4.3 bilion baht. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain