suria

Sedikit Latar Belakang Tentang Perjuangan Moro

MANILA: Pergerakan terbesar masyarakat Islam Filipina - Barisan Pembebasan Islam Moro atau MILF, telah berjuang untuk menuntut kemerdekaan atau pemerintahan sendiri sejak lebih 40 yang lalu.

Pada Isnin, MILF telah menandatangani perjanjian damai dengan Kerajaan Filipina bagi membolehkan mereka menikmati pemerintahan sendiri secara autonomi menjelang tahun 2016.

Pergerakan politik itu memiliki tidak kurang dari 12,000 anggota bersenjata yang mendiami Pulau Mindanao iaitu pulau terbesar di kepulauan Filipina.

Namun cabaran terbesar buat MILF selepas ini ialah untuk menyakinkan kesemua gerilanya supaya meletakkan senjata, terima hakikat yang perjuangan menuntut kemerdekaan tidak akan tercapai dan pada masa yang sama menyakinkan lain-lain pergerakan serpihan serta gerila supaya turut menerima perjanjian damai ini seadanya.

Perjuangan menuntut kemerdekaan dan pemerintahan sendiri telah memakan korban 150,000 nyawa.

Masyarakat Melayu Mindanao melihat diri mereka sebagai satu bangsa yang merdeka daripada penjajahan asing dan mereka berjuang menentang kedatangan kolonial Sepanyol sejak seawal tahun 1500 lagi.

Penentangan inilah yang membawa kepada nama 'Moro' iaitu satu nama yang diberikan oleh penjajah Sepanyol yang menyamakan Melayu Mindanao sama seperti pejuang-pejuang Moors di Afrika Utara.

Penentangan ini menjadikan Bangsa Moro kemudiannya sinonim dengan senjata.

Dan mereka akan mendapati amat sukar untuk berpisah dengan senjata kerana jika ini berlaku, ia samalah seperti seekor ayam jantan tanpa taji yang tajam.

Agensi berita AFP yang menemuramah salah seorang pemimpin briged MILF bernama Guiazakallaha Jaafar, 28, yang dibawahnya terdapat 3,000 gerila bersenjata amat khuatir dan berasa tidak selesa dengan salah satu syarat perdamaian iaitu mereka mestilah meletakkan senjata.

"Kami tidak biasa berpisah dengan sejata kerana kami mewarisinya daripada ayah kami yang sebelum itu mewarisinya daripada datuk dan moyang kami. Jadi mungkin sebagai jalan penyelesaian pejuang-pejuang bersenjata seperti kami boleh dijadikan anggota polis, tentera atau penjaga kampung," ujarnya.

Katanya lagi, kesemua mereka buat masa ini memakai baju celoreng tentera, juga mempunyai pangkat dan dilengkapi senjata berat.

Pemimpin MILF, Murad Ebrahim, juga seorang bekas gerila tetapi dalam usia yang telah mencecah 60an telah kembali ke meja rundingan untuk mencari perdamaian.

Murad mula mengangkat senjata ketika berusia 22 tahun, iaitu sebaik sahaja dia tidak menamatkan program ijazah kejuruteraan awam.

Murad terpanggil untuk menyertai perjuangan gerila hasil pengaruh karismatik seorang bekas profesor di Universiti Nasional Filipina bernama Nur Misuari.

Nur Misuari, adalah salah seorang pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro atau MNLF iaitu badan induk utama Moro sebelum wujudnya MILF.

Muradlah, bersama-sama seorang anak kelahiran Mindanao yang berpendidikan Kaherah bernama Salamat Hashim bertanggungjawab membentuk pergerakan serpihan dari MNLF yang kemudiannya dinamakan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) pada awal tahun 80an.

Murad dan Salamat Hashim mahukan sebuah negara berdaulat untuk Moro sedangkan Misauri pada masa itu cenderung ke arah perdamaian bagi memperolehi kuasa autonomi.

Misuari akhirnya berjaya menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pusat pada tahun 1996, yang menyaksikan MILF meneruskan perjuangan mereka di dalam hutan.

Malangnya, pentadbiran autonomi yang dinikmati oleh Misuari tidak bertahan lama dan akhirnya musnah yang sekaligus menyaksikan Murad dan Salamat mengantikan beliau sebagai peneraju utama di meja rundingan pada tahun-tahun mendatang selepas itu.

Artikel Lain