suria

Kerajaan Thai Tidak Pernah Abaikan Wilayah Selatan

KUALA LUMPUR: Kerajaan Thai sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan taraf ekonomi dan sosial wilayah selatannya serta tidak pernah mengabaikan masyarakat di wilayah itu, kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan di Kementerian Luar Thailand, Damrong Kraikruan.

Beliau berkata kerajaan Thai melaburkan kira-kira 100 juta baht sejak 10 tahun lepas bagi membangunkan kawasan itu menerusi pembinaan sekolah dan hospital serta infrastruktur lain bagi manfaat penduduk di situ.

"Akan tetapi, walau segigih mana kami berusaha tetap ada kumpulan yang menentang pembangunan.

"(Justeru) Usaha tidak berjalan lancar tetapi hasrat tetap ada untuk memajukan wilayah selatan," katanya kepada Bernama selepas melawat ibu pejabat agensi berita nasional Malaysia, di sini, Selasa.

Damrong dan enam lagi pegawai dari kementerian itu berada di sini bagi melakukan lawatan dua hari ke Malaysia.

Terdahulu, mereka mendengar taklimat yang disampaikan Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong.

Damrong juga berkata kerajaan Thai tidak mengamalkan diskriminasi terhadap penduduk di selatan negara itu.

Katanya kerajaan Thai sentiasa menghantar pelajar dari selatan melanjutkan pengajian ke luar negara dalam bidang dan negara yang dipilih mereka sendiri.

"Kami menawarkan ribuan biasiswa kepada pelajar di selatan untuk ke luar negara. Malah kami menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang tidak mampu ke Mekah (untuk mengerjakan haji).

"Kami menghantar pasukan untuk membantu rakyat yang ke Arab Saudi (untuk mengerjakan haji). Kami cuba memastikan mereka berasa selamat di sana," katanya.

Malah kata Damrong, kerajaan Thai juga kini membenarkan penggunaan bahasa Melayu di pejabat kerajaan di selatan Thailand. Ditanya sama ada inisiatif bersama dengan negara sahabat dan berjiran seperti Malaysia dapat membantu, beliau menegaskan situasi di selatan Thailand adalah isu domestik, namun pada masa yang sama Thailand mengalu-alukan sokongan negara lain yang ingin membantu seperti berkongsi amalan terbaik dalam pendidikan dan bidang lain.

"Kami mengalu-alukan sokongan negara seperti Malaysia dan Indonesia dari segi pembangunan ekonomi. Kami perlu mewujudkan kerja, mencari pasaran untuk masyarakat tempatan dan melatih mereka.

"Selain itu, perkongsian idea untuk membolehkan rakyat hidup dalam harmoni...sokongan dan sumbangan seperti ini yang sudah pasti kami alu-alukan," katanya.

Damrong juga berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas sokongannya membantu rakyat di selatan Thai.

Beliau juga menyatakan kerajaan Thai berminat untuk bekerja dengan Malaysia, Indonesia dan Brunei bagi membangunkan industri makanan halal.

"Kita boleh bekerja bersama dalam industri makanan halal. Itu membawa situasi menang-menang kepada semua," katanya.

Beliau juga berkata rakyat Malaysia antara pengunjung yang ramai melawat Thailand iaitu lebih dua juta setiap tahun. -BERNAMA

Artikel Lain