suria

Lelaki Keturunan Iran Mengaku Bersalah Kes Penyeludupan Manusia

MELBOURNE: Seorang lelaki rakyat Australia keturunan Iran berdepan kemungkinan dipenjara 20 tahun selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan penyeludupan manusia yang mempunyai kaitan dengan sebuah bot yang karam di perairan Christmas Island, dan mengorbankan 50 orang.

Ali Khorram Heydarkhani, 41, dijadual dibicarakan di Mahkamah Daerah Perth pada Isnin, bagaimanapun dia mengaku bersalah terhadap empat daripada 12 pertuduhan terhadapnya, menurut laporan Australian Associated Press.

Ini termasuk dua pertuduhan memudahkan lima orang atau lebih untuk memasuki Australia, dan dua pertuduhan secara cuai sehingga menimbulkan bahaya dalam tindakan untuk memudahkan kemasukan mereka itu.

Pendakwaan menerima pengakuan itu dan hukuman terhadap Heydarkhani akan dijatuhi pada 22 Oktober.

Pada mulanya dia berdepan kira-kira 100 pertuduhan tetapi hampir 90 daripadanya digugurkan.

Heydarkhani berada dalam tahanan sejak dia dihantar balik dari Indonesia pada Mei tahun lepas.

Dia dikehendaki berhubung pembabitannya dalam mengelolakan empat bot penyeludupan itu, termasuk bot yang terhempas ke batu di pulau itu pada 15 Dis, 2010, mengorbankan 50 lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Heydarkhani, yang dilahirkan di Iran, mendapat kerakyatan Australia pada 2003. - BERNAMA

Artikel Lain