Indonesia: Peraturan Pengambilan Tanah Dilaksana Sepenuhnya Tiga Bulan Lagi

JAKARTA: Peraturan baru presiden mengenai pengambilan tanah akan dilaksanakan sepenuhnya tiga bulan lagi, selepas kementerian berkenaan selesai menyediakan peraturan sokongan masing-masing, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Hermanto Dardak.

Dalam wawancara dengan akhbar harian berbahasa Inggeris The Jakarta Post pada Khamis, beliau dipetik sebagai berkata Badan Pertanahan Nasional (BPN), Kementerian Kewangan dan Kementerian Dalam Negeri dijangka selesai menyediakan peraturan masing-masing November ini.

Peraturan presiden itu, yang ditandatangani pada 7 Ogos, digubal untuk dijadikan asas perundangan dalam pelaksanaan Undang-undang Pengambilan Tanah yang diluluskan Parlimen pada Disember tahun lepas.

Undang-undang ini akan menjamin tanah yang diperuntukkan bagi pelaksanaan projek prasarana, tidak terhalang untuk diambil alih oleh pemaju.

Undang-undang itu bertujuan, antara lain, untuk mengawal kenaikan harga tanah secara mendadak, yang selalunya menghalang pelaksanaan projek pembangunan nasional dan untuk mengehadkan penjualan tanah kepada pihak ketiga.

JAKARTA Menurut laporan, masalah pengambilan tanah menjadi antara sebab beberapa projek prasarana terpakasa dihentikan, termasuk pembinaan 24 jalan raya bertol seperti Projek Lingkaran Luar Jakarta dan Jalan Raya Bertol Merentas Jawa.

Keseluruhan projek ini bernilai US$16.96 bilion. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain