Pekerja Tuntut Kenaikan Upah, Penghapusan 'Outsourcing' - Dunia | mStar

Pekerja Tuntut Kenaikan Upah, Penghapusan 'Outsourcing'

JAKARTA: Puluhan ribu pekerja di beberapa bandar di Indonesia mengadakan tunjuk perasaan sempena Hari Pekerja Sedunia, Selasa, bagi menuntut pelbagai penambahbaikan terutamanya kenaikan upah dan penghapusan sistem kerja penyumberan luar atau 'outsourcing'.

Selain demonstrasi besar-besaran di Jakarta, yang bertumpu di hadapan Istana Merdeka; di bandar Semarang, Jawa Tengah; kira-kira 3,000 pekerja yang bergabung dalam Perikatan Gerakan Buruh Semarang menuntut agar Upah Minimum Kota (UMK) Semarang tahun 2013 boleh mencapai Rp1.5 juta (RM535) hingga Rp2 juta (RM714) sebulan.

Para pekerja yang melakukan demonstrasi depan Pejabat Balai Kota Semarang, menganggap upah minimum kota Semarang Tahun 2012 yang ditetapkan tahun lalu pada kadar Rp991.500 (RM354) sebulan tidak wajar, kata Penyelaras Gerakan Buruh Semarang Heru Budi Utoyo dalam ucapannya di situ.

Selain masalah upah minimum kota, para pekerja juga menuntut penghapusan sistem kerja kontrak dan outsourcing, kerana sistem itu sangat merugikan mereka.

"Sistem berkenaan telah menghilangkan hak-hak buruh untuk mendapatkan upah yang wajar dan penyambungan kerja kerana akan sulit mencari kerja apabila tempoh kontrak tamat kerana faktor usia," katanya.

Pekerja juga menuntut pelaksanaan undang-undang di bidang tenaga kerja terutama dalam memenuhi hak-hak normatif bagi pekerja misalnya hak pekerja perempuan seperti cuti haid, cuti bersalin, dan cuti keguguran.

Di Tangerang, Banten, ribuan pekerja yang bergabung dalam Perikatan dan Kesatuan Sekerja Kota Tangerang bertindak menyekat sebatang jalan menuju Lapangan terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Cengkareng dan menyebabkan lalu lintas sesak sepanjang 5 km selama setengah jam.

Sebagai reaksi kepada tuntutan pekerja, Ketua Umum Persatuan Pengusaha Indonesia (Apindo), Sofjan Wanandi berkata, kerajaan perlu mengubah Undang-undang No 13 Tahun 2003 tentang Tenaga Kerja untuk menghapus sistem "outsourcing".

Untuk itu, undang-undang itu harus diubah, kata Sofjan di Jakarta, Selasa.

Menurut Sofjan, pengusaha tiada halangan jika sistem outsourcing dihapuskan walaupun ia masih digunakan di hampir semua negara di seluruh dunia.

Sistem itu akan menyebabkan kos pengeluaran meningkat dan syarikat pelaburan akan memilih negara mempunyai upah pekerja yang rendah untuk mengurangkan kos pengeluaran, katanya. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

Artikel Lain