suria

Pertunjukan 'Singapore Yacht 2012' Pertingkat Kedudukan Singapura Sebagai Hub Industri Superyacht Asia

SINGAPURA: Pertunjukan Tahunan kali kedua Singapore Yacht membuka pintunya kepada orang ramai Jumaat ini di Sentosa Cove, menghimpunkan sebilangan pembina yacht terkemuka dunia, para broker dan jenama yacht mewah.

Dengan kira-kira 10-15 superyacht yang terkenal di dunia dipamerkan bersama sebilangan yacht mewah yang lebih kecil, bot dan tender, pameran tiga hari dari 27 hingga 29 April itu memberikan pelawat peluang untuk menyelami gaya hidup mewah - yang dilihat sedang berkembang di rantau ini.

Pengarah Urusan Singapore Yacht Show Andy Treadwell berkata: "Kehadiran nama-nama besar dalam industri binaan yacht adalah petanda wujudnya keteguhan ekonomi yang meningkat tidak saja di Singapura tetapi juga Asia.

"Ketika kumpulan bilionair dan multi-milionair di rantau ini terus menikmati gaya hidup bermewah dengan yacht, kami mahu mereka merasai yang terbaik dapat ditawarkan oleh industri ini," kata beliau menjelang berlangsungnya pertunjukan itu. Antara tarikan pameran ialah jenama baru "Helix" sepanjang 45 meter keluaran Feadship , yang muncul pertama kali di Asia Tenggara; "Vantage" sepanjang 45 meter keluaran Palmer Johnson, dan "Onyx" sepanjang 35.5 meter keluaran Sanlorenzo.

"Sea Bear" Westport 130, yang pernah dimiliki oleh legenda golf Jack Nicklaus, turut dipamerkan dan sedia untuk sewaan di Singapura.

Satu barisan 'supercar' akan juga ditampilkan pada pameran tahun ini atas ihsan Eurosports Automobile Munich Automobiles dengan BMW M Owners Club dan Lamborghini Club yang akan mengatur konvoi ke pameran itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain