suria

Panglima Tentera Israel Ragu Iran Sudah Bersedia Bina Bom Nuklear

JERUSALEM: Ketua Staf Angkatan Tentera Israel, Leftenan Jeneral Benny Gantz tidak percaya Iran sudah bersedia untuk membina bom nuklear tetapi mungkin telah mengambil langkah peringkat demi peringkat ke arah itu.

Bercakap dalam satu temuramah dengan sebuah akhbar Israel berhaluan kiri, Haaretz, Gantz berkata, masanya akan tiba yang menyaksikan Iran sudah mencapai ke peringkat yang ia terpaksa memutuskan sama ada untuk terus membina bom nuklear atau tidak.

"Buat masa ini, Iran masih tidak dapat memutuskan sama ada untuk mengambil langkah seterusnya atau tidak," katanya.

Para pemerhati antarabangsa percaya, Iran sudah pun membangunkan kemudahan untuk meningkatkan kapasiti uraniumnya sehingga 20 peratus iaitu peringkat di mana isotop perubatan dapat dibangunkan tetapi untuk membina bom nuklear, mereka perlu meningkatkan kapasiti uranium ke tahap 90 peratus.

Kata panglima tentera Israel itu lagi, seandainya pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei inginkan senjata nuklear, dia sudah pun bergerak ke arah itu tetapi satu keputusan perlulah terlebih dahulu diambil dan Iran belum bersedia membuat keputusan itu.

"Pada pandangan saya, Ayatollah Ali Khamenei akan membuat satu kesilapan yang sangat besar jika memutuskan untuk bergerak ke arah itu (membuat bom nuklear) tetapi saya berpendapat, dia mahu menuju ke arah itu," kata Gantz lagi.

Sebaliknya tegas Gantz beliau berpendapat, kepimpinan Iran terdiri daripada mereka yang berfikiran rasional.

Artikel Berikut

Artikel Lain