suria

Kerajaan Tempatan Di Indonesia Wajib Sedia Tempat Khusus Merokok - Mahkamah

JAKARTA: Mahkamah Perlembagaan Indonesia pada Selasa membuat keputusan mewajibkan kerajaan tempatan menyediakan tempat khusus merokok di tempat kerja, tempat umum dan dtempat lain demi menjaga hak perlembagaan perokok.

Mahkamah tersebut menyatakan usaha kerajaan meningkatkan taraf kesihatan penduduk melalui peraturan larangan merokok di tempat yang ditetapkan tidak boleh mengorbankan hak penduduk lain.

Keputusan itu dibuat berikutan permohonan sekumpulan individu untuk penafsiran tentang Fasal 115 ayat (1) dan Penjelasan Undang-undang Kesihatan Indonesia berkaitan perkataan 'dapat' dalam undang-undang itu, yang boleh ditafsirkan secara berbeza, akhbar harian Media Indonesia melaporkan, Rabu.

Kumpulan pemohon menyatakan bahawa perkataan 'dapat' dalam penjelasan undang-undang itu kurang jelas kerana kerajaan boleh untuk mengadakan atau boleh untuk tidak mengadakan tempat khusus untuk merokok.

Majlis Hakim yang dipimpin Ketua Mahkamah Perlembagaan Mahfud MD membenarkan permohonan oleh kumpulan individu itu.

Fasal 115 ayat (1) Undang-undang Kesihatan menyebutkan bahawa kawasan tanpa rokok ialah kemudahan pelayanan kesihatan, tempat proses belajar mengajar, tempat kanak-kanak bermain, tempat ibadah, pengangkutan awam, tempat kerja dan tempat awam lain.

Penetapan kawasan tanpa rokok itu wajib dilakukan oleh kerajaan tempatan.

Sementara itu, penjelasan Fasal 115 ayat (1) Undang-undang Kesihatan menyebutkan khusus untuk tempat kerja, tempat umum dan tempat-tempat lain, dapat menyediakan tempat khusus untuk merokok.

Hakim Hamdan Zulva ketika membaca keputusan itu berkata Fasal 115 Undang-undang Kesihatan merupakan usaha kerajaan dan masyarakat untuk memelihara dan meningkatkan taraf kesihatan masyarakat dan kerajaan tempatan wajib menetapkan kawasan larangan merokok di wilayahnya.

Ia berpendapat larangan merokok di tempat tertentu merupakan kuasa negara dan oleh itu negara wajib mengaturkan supaya sebahagian daripada masyarakat tidak dirugikan oleh sebahagian masyarakat yang lain.

"Pengaturan harus seimbang dan jelas untuk mengambilkira kepentingan kaum perokok dan kepentingan masyarakat yang tidak merokok. Kerajaan wajib menyediakan ruang khusus merokok dan kawasan tanpa rokok," kata Zulva. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain