suria

Pampasan 2 Juta Baht Untuk Mangsa Rusuhan Politik Thailand

BANGKOK: Kerajaan Thailand meluluskan pampasan sebanyak 2 bilion Baht (kira-kira RM200 juta) kepada lebih 2,000 mangsa rusuhan politik yang dijangka menerimanya mulai bulan ini.

Setiausaha Tetap di Pejabat Perdana Menteri, Thongthong Chantarangsu berkata Kabinet meluluskan pempasan itu hari ini bagi mengurangkan penderitaan mereka termasuk kepada penyokong Baju Kuning dan Baju Merah.

"Pampasan adalah untuk mangsa keganasan politik sejak rampasan kuasa 2006 hingga Mei 2010 yang melibatkan kira-kira 2,000 orang dan 100 kematian," katanya dan menambah mereka boleh mendaftar dan menyerahkan dokumen mereka Khamis ini.

Kerajaan memperuntukkan 4.5 juta Baht (kira-kira RM450,000) masing-masing kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang hilang upaya.

Antara 675,000 Baht (kira-kira RM67,500) dan 1.1 juta Baht (RM110,000) telah diperuntukkan kepada mereka yang cedera serius sementara yang cedera ringan akan mendapat 225,000 Baht (kira-kira RM22,500).

Namun mangsa yang sedang menghadapi proses mahkamah jenayah akan hanya dibayar apabila kes mereka selesai, kata Thongthong.

Abang kepada Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, Thaksin digulingkan dalam rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada 2006 yang diikuti dengan kumpulan Baju Kuning yang anti-Thaksin merampas Pejabat Perdana Menteri, Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi dan Lapangan Terbang Don Muang pada 2008.

Jumlah terbesar mangsa dilaporkan semasa berlaku rusuhan jalanan kumpulan Baju Merah yang pro-Thaksin pada April-Mei 2010 yang menyebabkan 91 kematian dan lebih 1,800 orang cedera.

Sebelum ini kerajaan turut mengumumkan mangsa di tiga wilayah selatan yang bergolak iaitu Yala, Narathiwat dan Pattani akan turut menerima pampasan.

Artikel Lain