suria

Bilangan Pelancong Ke Jepun Meningkat

SINGAPURA: Jepun menyaksikan bilangan pelancong kembali ke negara matahari terbit itu meningkat lebih pantas daripada dijangkakan, kata Presiden Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO), Ryoichi Matsuyama.

"Tarikan utama pelancong telah kembali beroperasi seperti sebelum berlakunya bencana," katanya dalam ucapannya pada pembukaan rasmi NATAS Travel 2012, pameran pelancongan terbesar Singapura yang bermula di sini Jumaat hingga Ahad.

Ryoichi berkata pada 2011, ketibaan pelawat dari Singapura ke Jepun susut 38.5 peratus kepada 111,000 daripada rekod 180,000 pada 2010.

"Bagi 2012, ketibaan pelancong dari Singapura bagi Januari mencecah 9,000, yang merupakan penyusutan hanya 0.4 peratus berbanding Januari 2011. Ini membuktikan keyakinan pelancong Singapura untuk mengunjungi Jepun telah kembali sepenuhnya," katanya.

Ryoichi berkata JNTO Singapura telah mengadakan perkongsian dengan Changi Airport Group, 12 agensi pelancongan dan syarikat penerbangan untuk menaawarkan pakej satu bagi satu kepada 1,200 orang pertama melalui satu kempen baharu, "Spring for wonders of Japan".

"Memandangkan musim melihat bunga 'cherry blossom' mekar akan tiba tidak lama lagi, saya berharap lebih ramai rakyat Singapura akan melawat Jepun pada musim bunga ini," kata beliau.

Sementara itu, kerajaan Jepun akan menjadi hos kepada sebuah ruang pameran di NATAS Travel 2012, sebagai sebahagian daripada kempen "JAPAN NEXT."

Kempen itu diadakan untuk menzahirkan rasa terhutang budi negara itu kepada dunia kerana sokongannya semasa bencana gempa bumi di Jepun pada 11 Mac, 2011 dan mempamerkan pemulihan Jepun melalui kebudayaan dan teknologinya yang dikenali sebagai 'Cool Japan'. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain