suria

Polis Thailand Tahan Dua Lelaki Rakyat Malaysia Curi Motosikal

SADAO (Selatan Thailand): Polis Thailand menangkap dua lelaki warga Malaysia yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal di Malaysia sebelum menjualnya di sini.

Kedua-dua suspek berusia 17 dan 26 tahun itu ditangkap di rumah sewa mereka di Ban Khlong Hai Kong di sini pada 7 Dis lepas.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Abdul Rejab berkata suspek berusia 17 tahun itu telah diserahkan polis Malaysia minggu lepas, manakala seorang lagi masih ditahan pihak berkuasa Thailand atas kes dadah.

Mengulas kes curi motosikal tersebut kepada pemberita, di sini hari ini, Abdul Ghafar berkata suspek dipercayai mencuri motosikal di sekitar Kubang Pasu dan Kota Setar sebelum membawanya ke Thailand menerusi Kompleks Imigresen dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam.

Suspek dipercayai membawa masuk motosikal curi berkenaan ketika pintu sempadan mula dibuka pada 6 pagi dan ketika hampir ditutup antara 11.30 dan 12 tengah malam bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

"Mereka menjual motosikal curi tersebut kepada rakyat Thailand dengan harga sekitar RM1,300 sahaja," katanya. Beliau berkata ketika serbuan di rumah sewa suspek, polis Thailand menemui enam motosikal bernilai RM18,000, manakala enam lagi telah dileraikan dipercayai untuk dijual sebagai alat ganti.

Abdul Ghafar sebelum itu menerima enam motosikal curi daripada polis Thailand yang diwakili Ketua Polis Daerah Sadao Kolonel Takpakkhon Theratthanakpong, di Balai Polis Sadao.

Abdul Ghafar yang disertai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Zakaria Ahmad turut mengadakan perbincangan dengan Takpakkhon mengenai jenayah merentasi sempadan antara kedua-dua negara.

Pada pertemuan tersebut Abdul Ghafar turut menyampaikan sijil penghargaan daripada Polis Kedah kepada enam anggota polis Thailand yang berjaya menumpaskan sindiket berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

31 Terkorban Pengeboman Di Pakistan

Artikel Lain