suria

Tiga Pengawal Peribadi Oprah Ditahan

NEW DELHI: Polis India menahan tiga pengawal peribadi Oprah Winfrey berbangsa India selepas mereka mengasari beberapa wartawan TV tempatan pada Khamis.

Pengacara rancangan bual bicara Amerika Syarikat (AS) itu dikawal rapi oleh pengawal peribadinya dari AS dan India ketika lawatan ke bandar Mathura yang terletak kira-kira 145 kilometer di selatan, Delhi.

Seorang wartawan yang enggan dikenali berkata, polis menahan tiga pengawal peribadi Oprah berbangsa India selepas merosakkan peralatan videonya dalam satu pergaduhan.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan pengawal peribadinya yang diterbangkan dari AS tidak terlibat dalam insiden itu.

Ketiga-tiga pengawal peribadi berbangsa India itu dibebaskan selepas memohon maaf kepada wartawan terbabit.

Ia adalah lawatan pertama Oprah ke India di mana beliau memfilemkan rancangan terbarunya, 'Oprah's Next Chapter.'

Awal minggu ini, beliau memakai sari berwarna oren ketika bertemu bintang Bollywood, Amitabh Bachchan, Shah Rukh Khan dan Aishwarya Rai dalam satu majlis tertutup.

Oprah turut berkunjung ke Taj Mahal pada Khamis dan beliau dijangka menghadiri Pesta Kesusasteraan Jaipur yang akan bermula, Jumaat.

Artikel Lain