suria

Lady Gaga Sertai Perbincangan Anti Buli Di Rumah Putih

WASHINGTON: Penyanyi terkenal, Lady Gaga pada Selasa, berada di Rumah Putih untuk berbincang mengenai pencegahan gejala buli.

Penyanyi tersebut bertemu dengan pihak pentadbiran Obama dan sejurus selepas pertemuan itu, Penasihat Kanan Presiden Amerika Syarikat (AS), Valerie Jarret memuji Lady Gaga sebagai sumber kekuatan kepada golongan muda yang berasakan diri mereka terasing dan takut dengan persekitaran sekolah yang dihadiri mereka.

“Lady Gaga membincangkan isu tersebut dari sudut peribadi. Dia mengatakan dirinya sentiasa dibuli kerana berbeza daripada orang lain semasa kecil,” kata Jarret di blog yang terdapat di laman web Rumah Putih.

“Saya sangat tersentuh bagaimana Lady Gaga menggunakan kisah hidupnya dan kejayaan yang dikecapinya untuk memberikan inspirasi kepada golongan muda dan membangkitkan isu penting ini.”

Penyanyi yang terkenal dengan penampilan yang pelik itu bagaimanapun tidak berkesempatan untuk berjumpa dengan Presiden Barrack Obama yang sedang dalam lawatan kerja ke Kansas, AS bagi memberikan taklimat berhubung isu ekonomi.

Lady Gaga dan Obama pernah bertemu sebelum ini semasa penyanyi lagi Poker Face itu menyertai majlis mengumpulkan dana bagi kempen pilihan raya di California, AS dalam tahun ini.

Kehadiran Lady Gaga ke Rumah Putih disedari oleh pihak media dan dia dilaporkan berpakaian dan berkasut tumit tinggi berwarna putih manakala rambutnya dibiarkan lepas.

Rumah Putih menganjurkan persidangan anti buli pada awal tahun ini.

Pihak pentadbiran menganggarkan 13 juta pelajar terjejas dengan isu buli.

Jarret juga berkata, pihaknya akan menyokong yayasan yang diasaskan oleh Lady Gaga, Born This Way yang bertujuan mencari alternatif untuk mengubah budaya dan polisi di kalangan kanak-kanak sekolah. - AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain