suria

Pusat Operasi Bantuan Banjir Utama Thailand Sekali Lagi Ditenggelami Air

BANGKOK: Pusat Operasi Bantuan Banjir (FROC), pusat operasi banjir utama Thailand, ditenggelami air untuk kali kedua dalam tempoh seminggu.

FROC terletak di Kementerian Tenaga di Jalan Vibhavadi-Rangsit di sini, dan kawasan sekitarnya ditenggelami air sedalam 30 sentimeter hari ini.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berkata FROC akan meneruskan operasinya di lokasi itu buat masa ini.

Sabtu lepas, FROC dipindahkan ke lokasi terkini selepas lokasi asalnya di Lapangan Terbang Don Mueang ditenggelami air.

Terdahulu, perpindahan FROC ke bangunan Kementerian Tenaga dilakukan empat hari selepas lapangan terbang itu dilanda banjir, dan pusat operasi tersebut hanya berpindah setelah keseluruhan daerah Don Mueang ditenggelami air.

Lapangan Terbang Don Mueang, yang menyediakan perkhidmatan bagi penerbangan domestik, ditutup buat sementara waktu sejak 25 Okt ekoran banjir.

Bagaimanapun, Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi beroperasi seperti biasa kerana kemudahannya masih terselamat daripada banjir.

Sementara itu, Gabenor Bangkok Sukhumbhand Paribatra mengarahkan penduduk empat kawasan di daerah Chatuchak iaitu Lat Yao, Chankasem, Senanikom dan Chatuchak dipindahkan ekoran keadaan banjir yang semakin buruk.

Limpahan air banjir juga semakin dekat dengan pusat bandar Bangkok selepas kebanyakan kawasan sempadan di utara, barat dan timur Bangkok ditenggelami air.

Kira-Kira satu pertiga Thailand masih ditenggelami air menyebabkan 2.1 juta penduduk lebih 8,000 kampung di 25 wilayah di bahagian utara dan tengah terjejas akibat banjir yang melanda negara itu secara berperingkat sejak 25 Julai.

Kadar kematian kini meningkat kepada 442 orang. - BERNAMA

Artikel Lain