suria

Tuduhan Digugurkan Tapi Penyeludup Manusia Tetap Didakwa Di Mahkamah

MELBOURNE: Seorang lelaki warga Australia keturunan Iran yang menghadapi 85 tuduhan menyeludup orang apabila menganjurkan pelayaran pencari suaka yang berakhir dengan tragedi di Pulau Christmas, telah digugurkan.

Tetapi Polis Persekutuan Australia (AFP) telah mendakwa Ali Khorram Heydarkhani dengan 10 pertuduhan tambahan, penyeludupan manusia yang bakal menerima hukuman lebih berat, selain empat pertuduhan yang dihadapinya sebelum ini, lapor Australian Associated Press (AAP).

Heydarkhani, 40, yang menetap di Australia sejak 2003, kini menghadapi 14 pertuduhan penyeludupan manusia, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Prosiding kes itu berjalan singkat, yang didengar di Mahkamah Majistret Perth semalam, menerusi persidangan video dari penjara.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan oleh penterjemah dalam bahasa Parsi.

Heydarkhani ditangkap di Lapangan Terbang Sydney pada Mei selepas diusir keluar dari Indonesia.

Semua tuduhan terhadapnya berkaitan dengan SIEV (Kemasukan Kapal Disyaki Secara Haram) 226, yang tiba di Australia pada Januari, dan tragedi malang SIEV 221, yang terhempas di atas batu dan pecah di Pulau Christmas pada 15 Disember tahun lepas, menyebabkan 50 orang terbunuh, kebanyakan dari Iran dan Iraq.

AAP berkata ia adalah tuduhan pertama bagi penyeludupan orang yang membawa hukuman lebih berat dijalankan di Australia sejak ia dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun lepas.

Asisten Komisioner AFP Ramzi Jabbour berkata tuduhan baru yang dilaksanakan itu membuktikan kejayaan hasil kerjasama antara AFP dan Polis Nasional Indonesia memerangi penyeludupan manusia.

Hyedarkhani ditahan sehingga kesnya disebut semula di Mahkamah Daerah Perth pada 27 Januari tahun depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain