suria

Palang Merah Hulur Bantuan Kepada Negara Asia Tenggara Dilanda Banjir

BANGKOK: Palang Merah meringankan bebanan negara di Asia Tenggara yang dilanda banjir baru-baru ini dengan menghulurkan bantuan kepada lebih setengah juta mangsa di Thailand, Filipina, Vietnam dan Kemboja.

Pengurus Advokasi dan Komunikasi Serantau Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah bagi Asia Tenggara Matthew Cochrane berkata sukarelawan telah membantu lebih 450,000 orang di 32 wilayah di Thailand.

Lebih 118,000 kelengkapan keperluan keluarga dan 1.3 juta botol air minuman diagihkan bersekali dengan dua dapur kecemasan yang dapat menyediakan sekitar 4,000 sajian sehari di Thailand, katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata tiga unit alat penulenan air turut ditempatkan selain dua pasukan perubatan yang bergerak aktif di negara ini.

Di Filipina, Palang Merah memberi bantuan makanan kepada kira-kira 110,000 mangsa, barangan keperluan kepada 11,000 mangsa selain menyelamat serta memindahkan 2,600 orang yang terjejas akibat Taufan Nesat dan Nalgae di bahagian utara negara itu, katanya.

Cochrane berkata Palang Merah telah mengeluarkan US$15,000 (kira-kira RM45,000) dana kecemasan untuk menyediakan bantuan permulaan selain satu juta tablet penulenan air dan 3,000 barangan keperluan rumah kepada mangsa banjir di Vietnam.

Di Kemboja, beliau berkata Palang Merah menyasarkan untuk membantu kira-kira 10,000 keluarga mangsa banjir dengan makanan, tempat berlindung, air bersih dan penjagaan kebersihan diri.

Palang Merah merayu untuk bantuan kewangan antarabangsa, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain