suria

Kes Ketuk Ketampi Bogel: Singapura Mahu Lebih Banyak Maklumat

SINGAPURA: Kementerian Luar (MFA) Singapura mahu Malaysia menyalurkan lebih banyak maklumat mengenai insiden membabitkan dua wanita warga Singapura yang didakwa dipaksa melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel oleh pegawai imigresen di Johor Baharu pada Jun lepas.

Berdasarkan laporan media di Malaysia bahawa pihak berkuasa Malaysia telah memberikan jawapan pada soalan di Dewan Rakyat mengenai kes itu, MFA telah meminta Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura memberikan lebih banyak maklumat, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, MFA dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura sering berhubungan untuk mengetahui perkembangan status penyiasatan kes melibatkan dua wanita itu yang ditahan sementara atas dakwaan melanggar peraturan imigresen dan cara mereka dilayani semasa ditahan.

MFA berkata difahamkan bahawa hasil siasatan itu akan dimaklumkan kepada Singapura sebaik sahaja ianya selesai.

"Ini masih belum diterima setakat ini", menurut MFA.

Dalam jawapannya, Kementerian Dalam Negeri Malaysia menyatakan pegawai dalam kes itu telah menjalankan tugas secara "baik dan teratur".

Kedua-dua wanita warga Singapura dalam kes itu berkata mereka secara tidak sengaja memasuki Johor Baharu tanpa menyerahkan pasport mereka untuk dicap, dengan memandu melalui laluan imigresen yang tidak dikawal. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain