Lagi Mayat Geng Dadah Bergelimpangan Di Mexico - Dunia | mStar

Lagi Mayat Geng Dadah Bergelimpangan Di Mexico

VERACRUZ (Mexico): Sebanyak 11 lagi mayat dibiarkan bergelimpangan di atas jalan di sini, Khamis, dua hari selepas 35 mayat ditinggalkan di jalan bawah tanah yang sibuk, demikian menurut pihak berkuasa tempatan.

Penemuan ngeri itu berlaku di tengah-tengah kekecohan keganasan di bandar Veracruz dan serentak dengan persidangan kebangsaan pendakwa raya, di sini.

Pada Khamis, polis menjumpai beberapa mayat yang dibuang di tiga kawasan dekat bandar tersebut termasuk empat dijumpai di atas jalan pusat bandar.

Polis tambahan dan anggota tentera dikerahkan mengawasi kawasan bandar bagi acara persidangan antara pendakwa raya dan pegawai undang-undang dari seluruh negara yang sedang dijalankan sehingga Jumaat.

Pihak berkuasa Veracruz berkata kebanyakan mangsa yang dijumpai mati pada Khamis dekat Boca del Rio mempunytai rekod jenayah.

Media tempatan memberitahu satu pesanan yang ditinggalkan berdekatan mayat menyatakan ancaman terhadap kumpulan Zetas iaitu kumpulan penjenayah dadah yang dibentuk oleh bekas tentera elit yang melakukan keganasan untuk menguasai kawasan penyeludupan dadah di kawasan itu.

Seorang menteri kanan Kementerian Dalam Negeri berkata pembunuhan pada Khamis itu berkemungkinan besar adalah serangan balas dendam antara kumpulan-kumpulan penjenayah. -AFP

Artikel Sebelum

Budak 10 Tahun Bunuh Diri Lepas Tembak Guru

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain