suria

Turki Sekat Kemasukan Senjata Untuk Syria

ANKARA: Kerajaan Turki mengambil tindakan menyekat kemasukan senjata api melalui negara itu ke Syria, kata Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, pada Sabtu.

Beliau turut memberi amaran tindakan sama akan diambil terhadap sebarang aktiviti menggunakan negara itu sebagai transit kemasukan senjata api sama ada menerusi laluan udara atau darat.

“Pihak berkuasa Turki sudah menahan sebuah kapal menggunakan bendera Syria yang membawa senjata api menerusi Turki," lapor agensi berita Anatolia yang memetik Erdogan yang kini berada di New York kerana menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Erdogan bagaimanapun tidak memberitahu di mana dan bila kapal terbabit ditahan.

Erdogan minggu lalu membidas Presiden Syria, Bashar al-Assad bahawa era pemerintahan bercorak diktator kini sudah berakhir.

Turki melahirkan rasa kecewa dengan Assad dan rejim pemerintahannya yang gagal mendengar kehendak rakyat selepas bercetusnya tunjuk perasaan yang berpanjangan dengan 2,600 orang dilaporkan terkorban. - AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain