suria

Libya Jamin Hubungan Diplomatik Dengan Negara Luar Kekal

KUALA LUMPUR: Kerajaan baru Libya memberi jaminan bahawa hubungan diplomatik dengan negara-negara asing akan dikekalkan dalam usaha meneruskan rancangan pembangunan negara itu.

Dutanya ke Malaysia Dr Abu Bakar Al-Mansori berkata di bawah kerajaan baru itu, Libya berharap untuk memperoleh kerjasama daripada pelbagai negara kerana negara tersebut mempunyai sumber-sumber dan potensi yang besar dalam memperluaskan ekonominya.

"Libya buka pintu untuk semua perniagaan sama ada dalam perdagangan atau bidang lain bagi banyak negara di dunia. Kita berharap untuk hubungan perniagaan dari mana-mana negara.

"Libya mempunyai sumber-sumber dan potensi yang agak besar. Syarikat-syarikat dijemput menjalankan perniagaannya di Libya kerana kita amalkan dasar perniagaan pintu terbuka," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Rakyat Libya telah menubuhkan Majlis Peralihan Nasional (NTC) yang mewakili semua bandar raya di Libya bagi merangka satu struktur pentadbiran di bawah majlis eksekutifnya.

Majlis ini akan menjadi menteri kabinet dalam masa beberapa hari lagi yang kini sedang mengadakan konsultasi untuk menubuhkan kerajaan sementara bagi tempoh tidak lebih lapan bulan.

Perlembagaan yang dirangka untuk satu pegundian diikuti pemilihan parlimen dan presiden mengikut perlembagaan tersebut, kata beliau.

Al-Mansori juga melahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, kerajaan dan rakyat Malaysia kerana bersimpati terhadap warga Libya dan terus memberikan bantuan untuk masyarakat negara itu di sini.

Beliau berkata kerajaan Libya mengalu-ngalukan pelabur Malaysia ke negara itu kerana mereka mempunyai kemampuan untuk berkongsi dengan rancangan pembangunan negara tersebut.

Katanya Malaysia mempunyai banyak peluang di Libya khasnya dalam bidang minyak dan gas serta pendidikan.

"Malaysia boleh memainkan peranan yang sangat penting. Kita harap daripada kerajaan untuk bekerjasama dan sedikit bantuan dalam aspek pendidikan latihan perindustrian, pembinaan dan bidang lain," kata beliau.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang bersedia membayar yuran tuisyen bagi lebih 3,000 penuntut Libya di sini dan mula menghantar bantuan ke negara berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain