suria

Lee Saran Rakyat Singapura Terus Beri Perhatian Kepada Trend Global

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa menyarankan rakyat Singapura agar terus memberi perhatian kepada trend global, dan mengambil pandangan jangka panjang mengenai masa depan mereka dan pada masa yang sama menangani kebimbangan di negara sendiri.

Perdana Menteri berkata sementara kepentingan warga Singapura akan didahulukan, negara tidak akan berpandangan negatif kepada orang asing.

Singapura makmur kerana ia sentiasa terbuka kepada dunia dan sentiasa peka kepada saingan dan perubahan ekonomi.

"Inilah caranya bagaimana kita telah menarik pelaburan, mewujudkan pekerjaan untuk rakyat Singapura dan menjadikan diri kita sebuah bandaraya yang rancak.

"Kita tidak mampu untuk tertutup kepada diri kita sendiri, atau menyalurkan semua masalah kepada orang asing. Kita mesti kekal berhubung kepada dunia dan terus mengalu-alukan bakat dan idea, dari mana sahaja ianya datang. Maka, dari situlah, kita boleh berusaha dan mengukuhkan Singapura yang lebih baik untuk semua," kata beliau pada majlis Mesej Hari Kebangsaan di sini.

Menyentuh mengenai ekonomi, Lee berkata meskipun terdapatnya beberapa risiko, pertumbuhan kukuh 5-6 peratus telah disasarkan untuk tahun ini.

Beliau berkata yang di celah-celah krisis global baru-baru ini, kerajaan telah berusaha bersungguh-sungguh untuk melindungi rakyat Singapura daripada krisis global.

"Kita memperkenalkan Kredit Pekerjaan untuk membolehkan syarikat berdaya maju dan menyelamatkan pekerjaan. Kita membentuk Jawatankuasa Strategi Ekonomi bagi mengenal pasti peluang jangka panjang dan mencarta laluan untuk masa depan.

"Tahun ini, dengan kos kehidupan yang kian meningkat, kita melancarkan pakej perkembangan dan perkongsian untuk membantu isi rumah. Kita terus melatih semula pekerja untuk jadi lebih mantap dan menyokong keluarga miskin menerusi banyak program bantuan," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain