suria

Kadar Celik Huruf Wanita Malaysia Antara Tertinggi Di Dunia

NEW YORK: Kadar celik huruf pada kalangan wanita di Malaysia ialah 99 peratus, iaitu angka yang sangat tinggi bukan saja di Asia tetapi juga di dunia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pencapaian itu disumbang oleh polisi kesamaan gender yang dilaksana kerajaan.

"Pindaaan Perkara 8, Perlembagaan Malaysia jelas menyatakan tidak ada diskriminasi berasaskan gender," katanya.

Mengetuai delegasi Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini, Shahrizat membangkitkan pelbagai isu membabitkan wanita pada sesi ke-55 Suruhanjaya PBB mengenai Status Wanita.

"Adalah amat penting bagi Malaysia bersuara di PBB. Ini juga adalah masa yang baik untuk membentuk rangkaian kerja," katanya sambil berhujah langkah itu selaras dengan visi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan pembangunan wanita dan peranan golongan itu dalam pelan transformasi ekonomi negara.

Lawatan empat hari Shahrizat yang berakhir hari ini bertujuan memberi penekanan terhadap komitmen Malaysia mengenai isu kesamaan gender menerusi kedudukan negara sebagai Presiden Majlis Ekonomi dan Sosial (ECOSOC) pada 2010.

Shahrizat berkata beliau juga membincangkan pelbagai program dan strategi untuk membantu wanita di Asia Tenggara khususnya Malaysia, ketika bertemu dengan Pengarah Eksekutif entiti Wanita PBB Michelle Bachelet yang juga bekas Presiden Chile.

Menurut Shahrizat, Bachelet kagum dengan situasi wanita di Malaysia dan juga kepelbagaian bangsa yang membentuk rakyatnya.

"Wanita Malaysia mempunyai banyak pilihan dan peluang. Usaha Perdana Menteri juga dihargai agensi-agensi PBB. Beliau (Bachelet) mahu bekerjasama dengan kementerian ini.

"Kami berminat untuk bekerja ke arah memperkasakan wanita dan memberikan mereka peranan sebagai pemimpin. Melabur demi wanita adalah langkah bijak daripada segi ekonomi. Menjadi impian saya untuk melihat setiap wanita mempunyai pendapatan sendiri," kata Shahrizat.

Semasa lawatan itu Shahrizat juga berpeluang berbincang bersama rakan sejawatannya dari beberapa negara seperti China, Brazil, Korea, Bangladesh dan Kepulauan Caribbean. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain