suria

Negara Luar Berminat Dalami Strategi SPRM Perangi Rasuah

KUALA LUMPUR: Negara asing menyatakan hasratnya untuk mendalami dan mengaplikasi strategi serta mekanisme yang digunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras jenayah rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Sutinah Sutan berkata antara negara yang berminat menjadikan Malaysia sebagai negara rujukan ialah China, Korea, India, Kazakhstan, Ghana, Botswana, Vietnam, Indonesia dan Thailand.

"Negara luar tertarik untuk menggunapakai sistem dan strategi yang digunakan oleh kita malah kagum dengan kemampuan kita yang lebih ke hadapan dari sesetengah negara lain meskipun kita memperoleh kemerdekaan lebih lambat daripada mereka," katanya kepada pemberita pada Seminar Serantau ke-10 mengenai 'Penjenayahan Rasuah' di sini, Jumaat.

Mesyuarat dan seminar tiga hari yang berakhir hari ini dianjurkan oleh SPRM bersama Asian Development Bank (ADB); Pertubuhan Bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD); Inisiatif Anti-Rasuah Bagi Asia dan Pasifik dihadiri seramai 200 peserta termasuk pegawai penguatkuasaan anti rasuah dari 28 negara.

Beliau berkata peruntukan undang-undang yang diguna pakai serta semua usaha pencegahan rasuah yang dilaksanakan di Malaysia mematuhi piawaian antarabangsa.

Beliau berkata Malaysia memiliki dan mengaplikasikan pelbagai akta serta peruntukan undang-undang sebagai daya usaha dan inisiatif dalam memerangi rasuah habis-habisan.

Katanya, hasil dari persidangan ini juga, negara-negara luar mendapati bahawa peruntukan undang-undang yang digunapakai di negara mereka masih tidak cukup mantap dan memerlukan kajian terperinci.

"Contohnya kesalahan rasuah yang melibatkan warga atau pegawai asing di mana banyak negara luar yang belum ada peruntukan ini tetapi kita sudah melaksanakan di bawah Seksyen 22.

"Dengan adanya peruntukan itu, jika ada rakyat asing yang melakukan kesalahan rasuah di Malaysia kita boleh ambil tindakan, maka beberapa negara luar kini berhasrat untuk mengkaji semula dan membuat pindaan terhadap peruntukan undang-undang negara mereka," katanya.

Sutinah berkata Malaysia bersama beberapa negara luar turut bersetuju untuk menguatkuasakan undang-undang rasuah yang melibatkan proses ekstradisi termasuk perampasan harta rasuah yang berada di negara lain.

"Jadi negara-negara mudah berurusan apabila berlakunya kes rasuah yang memerlukan bantuan dan kerjasama negara lain kerana adakala hasil rasuah disimpan di luar negara," katanya.

"Rasuah bukan lagi masalah domestik tetapi telah menjadi masalah global... satu kes rasuah berlaku di satu-satu negara tetapi hasil rasuah disimpan di negara lain dan ini yang perlukan kerjasama antara negara," katanya.

Beliau menafikan kadar rasuah di Malaysia tinggi kerana jika kadarnya tinggi, negara tidak akan dapat membangun dengan pesat seperti yang dikecapi masa kini.

"Kadar rasuah di Malaysia rendah... kebanyakan negara yang rasuah tinggi biasanya terlibat dalam kemunduran, pembangunan teruk dan kemiskinan," kata Sutinah.

Katanya, meskipun dunia memandang tinggi terhadap keupayaan SPRM dalam memerangi rasuah namun masih ada persepsi dan pandangan serong daripada segelintir masyarakat yang sukar untuk dikikis.

"Persepsi serong masyarakat adalah di luar kawalan SPRM malah kita sudah mengambil segala usaha dari segi pendidikan, siasatan dan tindakan...kita akan terus berusaha dan tidak akan toleh kiri kanan dengan mengabaikan kata-kata negatif," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain