Timor Leste Mungkin Batal Projek Gas Woodside - Dunia | mStar

Timor Leste Mungkin Batal Projek Gas Woodside

MELBOURNE: Woodside Petroleum Ltd akan menghantar pasukan peringkat tinggi, termasuk Ketua Eksekutif, Don Voelte, ke Timor Leste, selepas negara kecil itu mengancam untuk membatalkan rancangan bagi pelaksanaan sebuah projek gas yang menelan kos berbilion dolar.

Pada Jumaat, Timor-Leste menuduh syarikat minyak dan gas Australia itu bersikap angkuh berhubung keputusan untuk tidak menempatkan loji pemprosesan gas asli cecair (LNG) di negara itu, demikian menurut agensi berita Associated Press Australia.

Ia mengancam untuk membatalkan pembangunan LNG yang dirancangkan di medan Greater Sunrise, antara Australia dengan Timor Leste.

Kenyataan daripada kerajaan Timor Leste itu dibuat selepas Woodside, pada Khamis, mengumumkan bahawa rakan kongsi usaha sama sebulat suara bersetuju untuk menggunakan platform terapung bagi memproses LNG dari medan Greater Sunrise.

Woodside adalah pengendali projek usaha sama itu yang juga melibatkan penyetraan ConocoPhillips, Shell dan Osaka Gas.

Kedua-dua Darwin dan Timor Leste berebut untuk menjadi lokasi kemudahan A$5 bilion yang akan memproses gas daripada medan yang sangat besar dan dipercayai merupakan sumber gas sebanyak 5.13 trilion kaki isi padu, serta 225.9 juta tong kondensat itu.

Setiausaha negara Timor Leste bagi Jemaah Menteri, Agio Pereira berkata Jumaat, negaranya komited terhadap pembangunan industri petroleum di negara itu yang merangkumi saluran paip dari negaranya ke medan Greater Sunrise.

"Timor-Leste tidak akan bersetuju dengan mana-mana pembangunan Greater Sunrise yang tidak melibatkan pemasangan saluran paip ke Timor Leste," tegas Pereira.

"Woodside sememangnya maklum dengan pendirian kerajaan sebelum pengumuman hari ini tetapi memilih untuk terus melaksanakan keputusan itu.

"Ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan, malah juga mencerminkan keangkuhan yang tidak boleh diterima," ujar Pereira. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Neymar terus kekal di PSG?