suria

Perkembangan Program 'Malaysia Kitchen' Di Amerika Menggalakkan

NEW YORK: Program "Malaysia Kitchen" yang digerakkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sejak beberapa bulan lepas khusus bagi mempromosi citarasa masakan Malaysia mendapat sambutan cukup menggalakkan di Amerika.

Bercakap kepada Bernama di sini, Pengarah Matrade New York Wan Latif Wan Musa berkata program yang dibentuk khusus untuk memberi manfaat kepada restoran yang diuruskan oleh rakyat Malaysia atau rakyat asing yang berkongsi niaga dengan rakyat Malaysia di Amerika itu, dilihat berkembang dengan cukup baik.

Beliau berkata program itu bertujuan memperkenal citarasa masakan Malaysia menerusi restoran tempatan yang perlu mengimport bahan masakan dari Malaysia, atau mendapatkan bahan-bahannya menerusi pengimport, sekaligus menggalakkan eksport produk makanan Malaysia serta bahan-bahannya ke luar negara.

Menurutnya program berkenaan akan menjadi salah satu daripada agenda utama Malaysia dalam penyertaannya di pameran Fancy Food Show di New York pada tahun 2010 nanti.

Katanya menerusi "Malaysia Kitchen", Eximbank diberi tanggungjawab mengurus aspek pembiayaan menerusi apa yang dilihat sebagai "Pusat Sehenti Matrade", manakala Matrade pula akan membiayai soal memberikan publisiti yang mencukupi buat restoran-restoran berkenaan.

"Kami mahu berikan tumpuan yang lebih jitu dan bekerjasama rapat dengan restoran-restoran Malaysia di sini," kata Wan Latif.

Katanya beliau sedar walaupun Amerika merupakan salah satu daripada pasaran terbesar eksport Malaysia, namun perdagangan dua hala antara kedua negara kini dilihat semakin menurun.

"Memang tidak dinafikan tidak negara pengeksport mencatatkan peningkatan dalam eksportnya ke Amerika pada tahun ini," tegasnya.

"Di kalangan negara anggota Asean, Malaysia terus menjadi negara pengeksport terbesar ke Amerika. Eksport Malaysia ke Amerika menurun 20 peratus kepada US$19 bilion dalam tempoh Januari-Oktober tahun ini, manakala import Malaysia dari negara itu pula jatuh 20 peratus kepada US$8.4 bilion dalam tempoh yang sama," katanya.

Artikel Lain