32 kereta solar mula merentas benua Australia hari ini - Dunia | mStar

32 kereta solar mula merentas benua Australia hari ini

DARWIN: Sebanyak 32 kereta kuasa solar termasuk kereta solar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) "Solar Ranger1" memulakan cabaran merentas benua Australia pagi ini.

Acara pelepasan kereta solar itu berlangsung di Rumah Parlimen Darwin di sini pukul 8.30 pagi waktu tempatan.

Beratus-ratus pemerhati dan peminat kereta solar termasuk wakil media dari seluruh dunia hadir seawal 7 pagi bagi menyaksikan cabaran solar itu yang disertai pasukan dari 15 negara.

Ketika pasukan Nuon Solar dari Belanda dengan kereta solar "Nuna5" menjadi pilihan perlumbaan itu, Solar Ranger1 yang mengalami kerosakan teknikal sebelum ini, layak meneruskan perlumbaan itu.

Bagi 15 anggota pasukan UNITEN, mereka yakin kereta solar mereka mampu bertahan dan menamatkan perlumbaan sejauh lebih 3,000km dari Darwin, Utara Australia, hingga ke Wilayah Selatan Australia, Adelaide.

Selain keberkesanan mengendalikan sistem kereta solar dan kecekapan pemandu kereta solar, setiap pasukan akan menempuhi beberapa halangan di sepanjang perjalanan itu termasuk faktor cuaca.

Keadaan jalan dan faktor stamina pemandu selain penyelarasan arahan dan maklumat antara kereta pengiring dengan kereta solar juga penting untuk memastikan sebarang cabaran dapat diatasi.

"Ia bukan soal mesin saja, tapi faktor pemandu (manusia) juga main peranan," kata Mohd Syafiq Khasmani, pelajar kejuruteraan yang juga salah seorang pemandu kereta solar UNITEN.

Tiga lagi pemandu ialah Edmund Ti Wee Keat, Aziz Suhaimi dan Yaw Chong Tak.

Setiap pasukan mempunyai empat pemandu yang akan bergilir mengikut stamina pemandu itu di sepanjang perlumbaan yang akan memakan masa selama sembilan sehari, bermula pukul 8 pagi setiap hari.

Ini bermakna pasukan kereta solar akan berhenti dan berkhemah tepat pukul 5 petang di tempat di mana kereta solar itu berada sebelum meneruskan perlumbaan pada keesokan hari.

Perlumbaan kereta solar yang merupakan sebahagian daripada "Global Green Challenge 2009" ini dijangka tamat Jumaat ini.

Kegetiran cabaran kereta solar itu dapat dilihat dengan beberapa kereta solar yang mengalami kerosakan minor pada sistem motor dan brek selepas berlepas kurang 20km dari garis permulaan pagi ini.

Ketika berita ini ditulis, kereta solar UNITEN masih belum menghadapi masalah dan meneruskan perjalanan ke pit stop rasmi pertama, berhampiran Katherine, kira-kira 320km dari Darwin melalui Stuart Highway.

Mengambil kira kerosakan dialami, cabaran utama kereta solar universiti itu adalah menamatkan perlumbaan itu sejauh mungkin dengan harapan menggunung 1Malaysia yang tertera megah pada badan kereta solar itu.

Pemerhati dari Jerman, Wolfgang Three, yakin UNITEN mampu melakukan kejutan.

"Ia bukan misi mustahil. Pasukan (UNITEN) anda mampu lakukannya," katanya kepada Bernama. BERNAMA

Artikel Sebelum

Tiger Airways berlepas tanpa penumpang

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain